You are here
berita 

Warga emas maut dihempap pokok kelapa ketika tunggang basikal

Mangsa yang menunggang basikal bersendirian maut akibat dihempap pokok kelapa di Jalan Haji Sabri, Sungai Tengar, Sungai Air Tawar.


Anggota bomba memotong pokok kelapa yang menghempap mangsa. FOTO ihsan bomba

SABAK BERNAM – “Arwah dilahirkan di situ, tak sangka, akhirnya dia meninggal dunia di tapak bekas rumah lamanya yang kini menjadi kebun kelapa,” kata seorang sepupu mangsa maut akibat dihempap pokok kelapa di Jalan Haji Sabri, Kampung Sungai Tengar, Sungai Air Tawar di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Abdul Latif Md Nor, 58, maut selepas sebatang pokok kelapa tumbang lalu menimpa mangsa yang menunggang basikal bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari kedai makan di Pekan Sungai Air Tawar.

Sepupu mangsa, Mustafa Hajiri, 58, berkata, mangsa sebelum itu menetap bersama arwah bapanya di rumah terbabit sejak dilahirkan.

“Arwah tinggal di sana bersama arwah bapanya dan kemudian mereka berpindah ke rumah baru iaitu kira-kira satu kilometer di tempat kejadian.

“Rumah lama mereka dirobohkan dan ditanam pokok kelapa, namun tak sangka, tanaman berusia puluhan tahun itu meragut nyawa arwah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mustafa yang menetap di Sungai Besar berkata, kali terakhir dia menemui arwah, kira-kira dua hari lalu di sebuah kedai makan di Pekan Sungai Air Tawar.

“Selama saya kenal arwah, tak pernah pula dia minta saya duit, tak sangka kelmarin (Jumaat), dia minta saya RM10.

“Itu kali terakhir saya bertemu dengannya dan sempat hulur RM10 kepadanya,” katanya.

Isteri mangsa, Raba’yah Yahadi, 59, berkata, arwah suaminya itu tinggal bersendirian di rumah pusaka arwah bapanya, manakala dia menetap di rumah anak keduanya, Abdul Halim, 28, di Parit 9, Sekinchan.

“Saya dah berkali-kali ajak dia tinggal dengan kami, tapi dia tak mahu duduk sini sebab nak jaga rumah pusaka arwah bapanya.

“Sesekali kami anak beranak balik ke kampung ziarah arwah di rumahnya,” katanya.

Raba’yah memberitahu, kematian suaminya itu dimaklumkan anak sulungnya, Ati Suriya, 31, selepas menerima panggilan telefon daripada ibu saudaranya iaitu adik kandung mangsa.

“Sebaik mengetahui kematian suami, kami terus menunggu jenazah di hospital,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia menemui suaminya itu, Disember tahun lalu ketika menghadiri kenduri tahlil dan cukur jambul adik iparnya di Sungai Tengar.

“Kami amat rasai kehilangannya, lebih-lebih lagi dia seorang pendiam dan tak banyak bercakap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan, Nor Azmi Isa mengesahkan kejadian terbabit.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian dada akibat dihempap pokok kelapa berkenaan.

“Ketika kejadian, pokok kelapa terbabit dipercayai tiba-tiba tumbang selepas ditiup angin kuat.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke HTAJ Sabak Bernam untuk dibedah siasat,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/semasa…elapa-1.638094

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts