You are here
berita 

Wanita tempatan akhirnya dapat status penduduk tetap selepas 30 tahun

Norhanim Hasnor membesar di rumah anak yatim, tidak mengetahui siapa ibu bapanya, menjalani hidup tanpa sebarang dokumen pengenalan diri selama 30 tahun akhirnya menerima MyPR.

KUALA LUMPUR: Ketakutan seorang wanita tempatan menjalani kehidupan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri selama 30 tahun berakhir apabila berjaya memperoleh status taraf penduduk tetap, lapor Star Online hari ini.

Norhanim Hasnor menghabiskan tahun awalnya di sebuah rumah anak yatim di Kuantan, Pahang, dan menghadapi banyak kesulitan selama ini, percubaan bersekolah dan mendapatkan pekerjaan. Semuanya kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

“Saya menghadapi kesukaran untuk bersekolah, ia adalah sukar untuk mendapatkan pekerjaan, saya tidak boleh mendapatkan lesen memandu atau membuka akaun bank.

“Saya takut sepanjang masa. Walaupun keluar dari pintu rumah pun saya takut kerana jika polis meminta dokumen pengenalan diri, bagaimana saya boleh menjelaskan kepada mereka saya tidak mempunyainya, walaupun saya dilahirkan di negara ini?” kata beliau dipetik berita portal.

Beliau akhirnya dinasihatkan membawa kesnya kepada program MyDaftar, yang merupakan inisiatif antara komponen Barisan Nasional (BN), Gerakan dan Jabatan Perdana Menteri.

Dengan bantuan MyDaftar, Norhanim akan menerima kad MyPR beliau dalam masa kira-kira sebulan.

“Ini adalah hadiah hari jadi yang lewat kerana saya menyambut hari jadi pada Selasa.

“Saya tidak dapat menggambarkan betapa gembiranya saya sekarang,” kata Norhanim kepada The Star, sambil menambah beliau sangat bersyukur kerana memperoleh pengenalan diri yang sah selepas 3 dekad di negara kelahirannya sendiri.

“Bayangkan hidup anda tidak mempunyai identiti, tidak mengetahui ibu bapa anda, tidak mengetahui asal usul anda.

“Sekarang saya boleh mengatakan saya mempunyai identiti dan saya berhak berada di sini.”

Beliau kini berminat untuk mendapatkan lesen memandu dan membuka akaun bank, perkara yang kita ambil ringan tetapi sesuatu yang mustahil bagi Norhanim sebelum ini.

Menurut penyelaras petugas khas pelaksanaan MyDaftar, N. Siva Subramaniam, semua jabatan kerajaan yang terlibat harus diberi pujian atas usaha mereka membantu Norhanim mendapatkan dokumen pengenalan beliau.

“Kami gembira Kementerian Dalam Negeri memberikan beliau dokumen pengenalan diri yang diperlukan untuk beliau meneruskan kehidupannya.

“Ya, beliau tidak mempunyai sijil kelahiran, tetapi beliau berada di Malaysia sepanjang hidupnya. Beliau dilahirkan di sini,” katanya beliau seperti dipetik The Star.

Terdapat ramai lagi yang berkongsi nasib seperti Norhanim, kata Siva dan menambah MyDaftar akan terus membantu mereka seperti mendapatkan dokumen sepatutnya.

http://www.freemalaysiatoday.com/cat…epas-30-tahun/

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts