You are here
berita 

Wanita mangsa ragut parah, leher ditetak dua lelaki

LEHER Chin Sze Lin,34, dikelar peragut ketika menghantar anak perempuannya ke rumah ibunya di Taman Kemuncak, Ipoh, 12.45 tengahari, Jumaat lalu. – foto Ihsan Pembaca

IPOH: Seorang wanita berusia 34 tahun parah selepas dipercayai diragut dua lelaki ketika menghantar anak perempuannya ke rumah ibunya di Taman Kemuncak, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada jam 12.45 tengah hari itu, Chin Sze Lin yang berkongsi mengenai kejadian itu menerusi laman sosial Facebooknya berkata, ketika kejadian dia berhenti di hadapan rumah ibunya.

Katanya, sebaik keluar dari kereta, dia mendengar bunyi motosikal menuju ke arahnya.

“Saya cepat-cepat masuk semula dalam kereta, namun tidak sempat mengunci kereta sebelum dua lelaki yang menaiki motosikal menarik saya keluar dan merampas beg tangan.

“Saya menjerit meminta tolong apabila dua peragut itu melibas leher dan menendang kepala saya beberapa kali,” tulisnya dalam Facebook.

Sze Lin berkata, berikutan terdengar jeritan itu, abangnya yang berada di rumah bergegas keluar memberikan bantuan namun kedua-dua suspek melarikan diri.

“Melihatkan darah keluar tidak berhenti, abang terus membawa saya ke hospital.

“Saya bernasib baik kerana anak saya selamat, tetapi peragut itu mengelar leher sepanjang lebih kurang 10 sentimeter (cm) selain cedera di kepala dan tangan serta lebam di beberapa bahagian badan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek.

https://www.bharian.com.my/berita/ke…tak-dua-lelaki

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts