You are here
berita 

Wanita Indonesia didenda RM300,000 pasang pendakap gigi secara haram

TERTUDUH, Surya Elvi Wijaya Nasution, 22, mengaku bersalah atas pertuduhan menyediakan satu klinik pergigian swasta tidak berdaftar dengan menawarkan perkhidmatan rawatan pemasangan pendakap gigi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Johor Bahru: Seorang wanita warga Indonesia dipenjara tiga bulan kerana gagal membayar denda RM300,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan membuka klinik pergigian swasta tidak berdaftar sejak setahun lalu.

Surya Elvi Wijaya Nasution, 22, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Muhammad Khalid Ab Karim.

Mengikut pertuduhan, Surya Elvi didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tidak berdaftar dengan menawarkan perkhidmatan rawatan pemasangan pendakap gigi ke atas Md Azuan Abd Rahim tanpa pendaftaran sah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Susur Larkin Perdana 1, di sini, pada jam 1.30 petang, 16 Mac lalu.

Surya didakwa mengikut Subseksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut subperanggan 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Mahkamah menjatuhkan denda RM300,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Malaysia, Nurul Khariyah Samsudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memilih hukuman penjara dan akan dibawa ke Penjara Kluang bermula hari ini.

http://www.hmetro.com.my/node/217453

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts