You are here
berita 

Ular sawa gergasi 300kg di Marang

Ular sawa yang mati dibunuh.


Ular sawa batik ini dianggarkan seberat 300 kilogram dan sepanjang kira-kira enam meter.

MARANG – Seorang pengusaha kebun kelapa sawit berdepan detik mencemaskan apabila terserempak dengan seekor ular sawa sepanjang kira-kira enam meter ketika membersihkan kebunnya di Kampung Gondang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pengusaha kebun terbabit, Awang Jemahat, 40-an, juga bernasib baik kerana di saat-saat reptilia dianggarkan seberat sekitar 300 kilogram cuba menerkamnya dia sempat bertindak melarikan diri.

Awang berkata, sebaik sahaja reptilia itu kelihatan cuba menerkamnya dia secara spontan terus berlari ke tempat yang selamat sambil menjerit meminta pertolongan dan berharap jeritan itu dapat didengari anak lelakinya.

Sebaik mendengar jeritan Awang, anak lelakinya yang berada tidak jauh dari tempat kejadian pula segera mendapatkannya yang kemudiannya terus memaklumkan perkara itu kepada Pengerusi JKKK Gondang, Marzuki Mat Zain, 56.

Marzuki sebelum kejadian itu bersama dua beranak terbabit membersihkan kawasan kebun berkenaan namun kerja-kerja pembersihkan itu dilakukan di kawasan berasingan namun masih dalam kawasan kebun kelapa sawit yang sama.

Menceritakan lanjutan peristiwa yang berlaku, Marzuki pula berkata, sudah menjadi rutin bagi mereka bertiga membersihkan kawasan ladang kelapa sawit itu pada waktu pagi dan akan berada berdekatan antara satu sama lain.

“Saya yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian bukan main terkejut lagi apabila dimaklumkan mengenai kejadian menimpa Awang oleh anak lelakinya. Saya segera mendapatkan Awang yang masih dalam keadaan terkejut dan ketakutan itu.

“Selepas itu, saya segera ke tempat kejadian sebelum mendapati ada seekor ular sawa yang amat besar. Saya tidak pernah jumpa ular sebesar itu sebelum ini. Panjangnya dianggarkan lebih kurang 20 kaki…iaitu hampir sepanjang enam meter,” katanya.

Selepas itu katanya, dia segera menghubungi penduduk kampung dan pihak pengurusan JKKK kampung berdekatan sebelum beberapa penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian dan berjaya membunuh ular besar itu.

Menurutnya, keputusan membunuh reptilia itu dibuat selepas mengambil kira semua aspek keselamatan penduduk termasuk misteri kehilangan haiwan ternakan penduduk terutamanya lembu yang dilepaskan di ladang kelapa sawit.

“Sejak kebelakangan ini, penduduk kampung sering mengadu kehilangan haiwan ternakan terutamanya lembu dan dipercayai dimakan oleh ular sawa berkenaan berdasarkan saiz reptilia itu yang mampu menelan seekor anak lembu.

“Kita juga mengambil keputusan itu kerana ramai penduduk di sini yang terlibat dalam mengusahakan tanaman kelapa sawit dan mereka berisiko diserang reptilia itu sekiranya haiwan itu dalam keadaan kelaparan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…ogram-1.638104

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts