You are here

Turunkan Kadar GST sejajar kenaikkan inflasi

Kadar inflasi negara pada bulan Januari 2017 berada pada 3.2%, naik hampir 90% berbanding bulan Disember yang hanya berada pada 1.8%.

Kadar inflasi pada bulan Januari juga mengejutkan para penganalisa ekonomi yang meletakkan nilai konsensus pada 2.8% ekoran kejatuhan nilai Ringgit yang meninggikan kos import dan kenaikan harga minyak tempatan yang mendadak yang melambungkan kos pengangkutan.

Beberapa para penganalisis ekonomi telah meramalkan kadar inflasi negara akan terus naik, melebihi 4% pada tiga bulan yang akan datang.

Ini bermakna harga barangan akan terus meningkat, rakyat yang sudah merana terpaksa lagi membayar lebih di bulan-bulan akan datang untuk segala jenis barangan konsumer.

Apapun, kerajaan perlu beringat bahawa kadar inflasi sebenar adalah lebih tinggi pada realiti.

Kadar inflasi purata tidak menggambarkan keadaan sebenar yang dirasai rakyat marhaen kerana para peniaga tidak menaikkan harga barangan mengikut peratusan sebaliknya mengikut nilai sen.

Umpamanya nasi lemak yang dijual RM2.00, tidak mungkin dinaikkan kepada RM2.08 mengikut kadar inflasi 4%, sebaliknya akan dinaikkan harga 10 atau 20 sen yang bersamaan dengan 5% dan 10% di sudut inflasi.

Barangkali ini bukan berita buruk bagi kerajaan BN. Ini kerana harga barangan yang lebih tinggi bermaksud pungitan hasil GST juga akan meningkat. Sekiranya rakyat perlu membayar 6 sen untuk GST untuk harga satu barangan bernilai RM1.00 di pasaran, rakyat kini perlu membayar 7 sen, jika harga barangan itu dinaikkan kepada RM1.15 di pasaran.

Oleh itu, PAS menggesa kerajaan seeloknya membatalkan GST. Jika kerajaan tidak mampu untuk membatalkan GST, sekurang-kurangnya kerajaan perlu menurunkan kadar GST sejajar dengan kenaikan kadar inflasi sebagai langkah mengurangkan beban rakyat.

Menurunkan kadar GST sejajar dengan kenaikan kadar inflasi tidak akan mengurangkan nilai kutipan GST kepada kerajaan, kerana harga barangan yang lebih mahal akan mengimbangi penurunan kadar GST.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
26 Februari 2017 – HARAKAHDAILY 26/2/2017

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts