You are here
berita 

Tindakan lantik hakim tambahan kurang bijak – Bekas Ketua Hakim Negara


SHAH ALAM – Pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan dan terus memegang jawatan yang disandang mereka, bukanlah tindakan yang bijak.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, tindakan itu menampakkan Kerajaan Persekutuan (dalam keadaan politik ketika ini) mahukan mereka terus kekal menyandang jawatan masing-masing.

“Adalah amat sukar kerajaan menolak persepsi awam bahawa mereka sedang buat persediaan untuk mempunyai mahkamah yang pro-kerajaan jika terdapat perkara atau kes-kes terhadapnya dalam tempoh itu.

“Ini tidak akan bantu kerajaan untuk menunjukkan kepada masyarakat awam bahawa ia kerajaan telus,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Malah, katanya ia menampakkan terlalu banyak campur tangan politik seperti berlaku di era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kekal sebagai titik hitam dalam sejarah Malaysia secara am dan badan kehakiman secara khusus.

Katanya, bagi hakim itu pula, mereka dilihat seolah-olah berkompromi dengan terus memegang jawatan tersebut walaupun ia berlaku di penghujung kerjaya mereka.

Imej badan kehakiman yang semakin baik, sekali lagi terpalit lumpur ekoran isu tersebut.

“Bagi menampakkan tindakan itu sebagai sah, kerajaan sedang menimbang cadangan menaikkan umur persaraan hakim mahkamah tinggi kepada 70 tahun.

“Jika kerajaan boleh dapat sokongan dua pertiga di Parlimen, pindaan itu mungkin dapat menyelesaikan masalah perlanjutan jawatan mereka, jika tarikh penguatkuasaan pindaan itu bermula selepas persaraan Arifin dan sebelum Raus serta Zulkefli mencapai umur 66 tahun enam bulan,” katanya.

Katanya bagaimanapun, jika pindaan itu berkuat kuasa, perkara sama tetap boleh berulang. Kerana itu kesesuaian menaikkan tarikh persaraan, perlu ditimbang dengan teliti.

“Jangan kerana perlanjutan umur persaraan hakim dilaksana di negara lain, kita hendak mengikutnya.

“Tindakan kerajaan meneruskan perkhidmatan kedua-dua hakim kanan itu bukanlah tindakan bijak, malah tidak baik untuk imej Malaysia,” katanya.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts