You are here
berita 

Terpaksa ikat tangan suami

Norsyeala dibantu keluarga mentuanya untuk menguruskan suaminya.

SUNGAI PETANI – Insiden dilanggar lori mengubah kehidupan ketua keluarga dari Kampung Alor Bemban, Tikam Batu, di sini, apabila dia terlantar sakit sejak sebulan lalu.

Norsyeala Md Salleh, 33, berkata, suaminya, Mohd Hafiz Yaacob, 33, yang dahulunya seorang penjual ikan rebus parah di bahagian kepala selepas dilanggar lori ketika dalam perjalanan mahu menghantar hasil jualannya di Pasar Taman Ria, di sini, 7 Jun lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya tidak sedarkan diri dan doktor memaklumkan bahagian otak suami bengkak selain berlaku pendarahan, namun setakat ini tiada sebarang pembedahan dilakukan.

“Suami dah sedar dan dibenarkan pulang minggu lepas. Tapi dia tak boleh bercakap dan tak kenal orang sekeliling dia.

“Sekarang ini dia minum susu saja yang disalurkan kat bahagian leher. Mungkin sebab tak selesa, dia ada cuba nak cabut salur ini, itu yang saya terpaksa ikat tangan dia dekat katil,” katanya.

Kini, Mohd Hafiz hanya bergantung kepada susu khas disyorkan doktor dan juga lampin pakai buang.

Norsyeala berkata, dia memerlukan wang RM1,200 sebulan untuk menampung perbelanjaan suaminya.

“Sekarang ini tengah fikir macam mana nak bayar ansuran kereta, bil air dan elektrik, belum lagi hal sekolah anak kira-kira RM1,000 sebulan,” katanya yang mempunyai dua anak iaitu Puteri Nurul Ain, 9, dan Mohd Adam Naqib, 6, yang bersekolah di tahun tiga dan pra Sekolah Kebangsaan Berapit.


Keadaan Mohd Hafiz yang dipasang tiub untuk saluran susu dan juga tiub membuang kahak kerana tidak mampu menguruskan diri.

Disebabkan itu, dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa meneruskan usaha menghasilkan ikan rebus namun dengan jumlah yang agak terhad.

Mujur, ibu Mohd Hafiz, Rubinah Ali, 56, membantu menguruskan suaminya sepanjang masa sementara dia memberi fokus kepada pekerjaan dan pengurusan anak-anak.

Sinar Harian 8 Jun lalu menyiarkan kejadian kemalangan membabitkan Mohd Hafiz yang dilanggar sebuah lori di Lebuhraya Utara Selatan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal di lorong kecemasan dilanggar lori dari arah belakang menyebabkannya terbabas sebelum motosikal mangsa melekat di bahagian hadapan lori terbabit.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank 1120 3601 8071.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…suami-1.704198

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts