You are here
berita 

Terkejut minyak dalam tangki kereta disedut hingga kering

Radziah menunjukkan penutup tangki minyak keretanya dibuka dan diletakkan di atas keretanya.

KUALA PILAH – Sepasang suami isteri terkejut apabila melihat penutup tangki minyak terbuka dan bonet hadapan kenderaan mereka renggang mengakibatkan minyak dalam tangki itu lesap, pada pagi semalam di Taman Melati Indah, Batu Kikir.

Kejadian itu disedari jam 7.30 pagi oleh pasangan suami isteri, Idris Hamid, 54, dan Radziah Abdul Ghani, 56, ketika hendak pergi bekerja di Felda Bukit Rokan, Gemencheh.

Menurut Radziah, suaminya terlebih dahulu menyedari kejadian itu sebelum memanggilnya keluar dari rumah.

“Ketika keluar rumah, suami saya terkejut setelah ternampak penutup minyak kereta milik saya jenis Daihatsu Charade berada di atas bumbung kereta.

“Mengesyaki sesuatu, suami saya membuat pemeriksaan dan mendapati penutup minyak terbuka dan didakwa diumpil oleh individu.

“Panik melihat kejadian itu, suami terus menghidupkan enjin dan mendapati meter minyak ke bawah (E). Ini menunjukkan minyak disedut kerana sebelum ini petrol ada setengah tangki.

“Memang tidak logik kalau minyak kereta ini cepat habis. Ini kerana kali terakhir menggunakan kereta ini ketika pergi ke pasar malam Batu Kikir sebelum diletak di parkir hadapan rumah kira-kira jam 9 malam,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Radziah berkata, suaminya kemudian turut memeriksa sebuah lagi kereta jenis Honda Accord.

“Ketika suami sedang menghidupkan enjin Honda Accord, suami perasan bonet hadapan kereta renggang dan dipercayai dibuka oleh individu.

“Setelah dibuka bonet hadapan, suami mendapati paip utama minyak petrol tercabut. Dipercayai minyak disedut dari bahagian enjin.

“Melihat kepada cara pencuri ini, mungkin dia seorang berpengalaman dalam bab-bab enjin hingga mampu melakukan perbuatan ini,” katanya tidak mengesyaki sesiapa namun kini lebih berwaspada.

Jelasnya, kejadian itu pertama kali berlaku di taman tersebut dan ketika ini suaminya belum sempat membuat laporan polis berikutan lokasi kerja agak jauh dari rumah.

Difahamkan, dua hari sebelum kejadian ini, tiga tabung Masjid Kariah Desa Anggerik dipecahkan oleh individu yang tidak dikenali dengan jarak lokasi taman hanya 500 meter sahaja.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…ereta-1.595981

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts