You are here
berita 

Terima kasih sekali lagi cikgu Ghani

Orang ramai beratur untuk mendapatkan ayam percuma sumbangan sedekah jariah melalui laman FB Cikgu Ghani di Kampung Masjid.

Sungai Petani: Seribu ayam siap diproses diberi percuma kepada penduduk di Kampung Masjid, Tikam Batu, di sini, pagi tadi.

Menurut Abd Ghani Haron, 65, usaha dilakukan itu bagi membantu orang ramai terutamanya suri rumah dalam menangani isu ketidaktentuan harga barangan keperluan harian.

“Ayam ini bukan sumbangan saya seorang tetapi mewakili sedekah jariah orang ramai melalui laman Facebook Cikgu Ghani.

“Semua ayam ini berjumlah sekitar RM14,884 dan saya amat berterima kasih kepada peminat laman berkenaan yang banyak menyumbang bagi menjayakan misi kali ini.

“Alhamdulillah, kerjaya saya pengusaha katering makanan memudahkan saya untuk mendapatkan bekalan ayam segar dari ladang di sekitar daerah ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Menurutnya, orang ramai mula memenuhi pekarangan rumahnya seawal jam 7 pagi bagi mendapatkan seekor ayam bagi setiap keluarga.

“Melihat kepada keadaan orang ramai yang terpaksa bersesak-sesak bagi mendapatkan bekalan ayam, saya dan pekerja terpaksa mengawal waktu untuk pemberian sedekah jariah ini bagi melancarkan program.

“Saya bimbang jika menunggu lebih lama kerana suri rumah yang datang kebanyakannya mungkin mempunyai komitmen lain untuk dibuat,” katanya.

Proses agihan ayam berkenaan yang bermula jam 8.30 pagi selesai jam 9.10 pagi.

Abd Ghani berkata, dia turut mengalu-alukan kepada orang ramai yang ingin sama membantu untuk misi seterusnya iaitu sedekah jariah susu pekat selain sedekah jariah minyak masak dan beras yang dibuat pada setiap bulan.

http://www.hmetro.com.my/node/199441

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts