You are here
berita 

Tak mampu, pelajar bawa timba cat ke asrama ganti gayung

Mohd Safwan kiri bersama Jhangir Khan dua kiri serta Mohd Ghazali tiga kiri serta isteri dan anaknya.

BALING – Timba cat yang digunakan sebagai gayung untuk mandi di asrama merungkai kepada kisah kehidupan keluarga seorang pelajar tingkatan satu.

Difahamkan, Nor Athirah Mohd Ghazali,13 dari Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Syed Abu Bakar di sini membawa timba cat setiap kali mandi, tindakan itu akhirnya menimbulkan persoalan dalam kalangan rakan-rakannya.

Kerana simpati, mereka memaklumkan kepada ibu bapa masing-masing sebelum ia membawa kepada kisah hidup pelajar berkenaan.

Ayah, Mohd Ghazali Lah Man, 41, dari Kampung Sadek Mukim Kupang berkata, Athirah membawa timba sebagai pengganti gayung mandi kerana kekangan kewangan.

Menurutnya, dengan pendapatan sebagai tukang rumah, dia tidak mampu untuk menghalang hasrat anak sulungnya itu tinggal di asrama.

“Suatu hari dia pulang dari sekolah dan serahkan borang menduduki asrama, waktu itu saya serba salah nak izinkan anak tinggal di asrama atau tidak kerana pendapatan yang tidak menentu.

“Akhirnya saya benarkan selepas pihak sekolah sanggup untuk tampung yuran persekolahan, dalam masa sama, saya menyediakan kelengkapan asramanya dengan apa yang termampu,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, anaknya membawa timba cat ke sekolah atas saranan isterinya, Intan Lailatul, 33, seorang suri rumah.

“Kebanyakan barangan asramanya menggunakan barangan terpakai termasuk dari timba cat yang dibersihkan. Athirah terima idea itu tanpa menolak kerana dia faham keadaan saya dan isteri.

“Tetapi alhamdulillah, kini dia tidak lagi menggunakan timba cat kerana ada insan tolong belikan gayung untuk kegunaannya,”katanya.

Terdahulu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung ( GPMS) serta wakil pejabat Timbalan Speaker melakukan kunjungan di kediaman keluarga berkenaan, hari ini.

Pasangan menanggung tiga lagi anak berusia enam bulan hingga 11 tahun itu merupakan penerima bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah ( LZNK) Cawangan Baling.

Timbalan Yang Dipertua GPMS Cawangan Baling, Mohd Safwan Mohd Bakhari Shah berkata, pemantauan dari GPMS mendapati Athirat masih menggunakan kasut sekolah lama selain pakaian terpakai hasil sumbangan individu lain.

“Hasil tinjauan kita di sekolahnya, adik Athirah masih menggunakan kasut darjah lima termasuk pakaian sekolah terpakai.

“Dia juga tidak mempunyai biskut atau makanan ringan seperti pelajar lain di asrama. GPMS Cawangan Baling berharap pihak berwajib dapat pantau isu seperti ini,”katanya.

Sementara itu, wakil Pejabat Timbalan Speaker Negeri Kedah, Jhangir Khan Kathem Khan berkata, pihaknya akan menghubungi jabatan tertentu untuk membantu kelangsungan pembelajaran

Untuk sumbangan boleh disalurkan menerusi Bank Rakyat melalui nombor akaun 22-004-156380-8 atau hubungi keluarga ini di talian 019-4635257.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…ayung-1.635260

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts