You are here
berita 

Suami isteri didakwa bunuh, dera anak kandung

PETALING JAYA 5 Jun – Sepasang suami isteri berdepan hukuman mati di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak kandungnya menggunakan rotan, dua minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, Aaron Teoh Eng Wan, 34, dan isterinya, En Sit Mooi, 36, didakwa bersama-sama telah membunuh anak lelaki mereka, Adrian Teoh Wai Kit, 9, di Lanna Pure Thai Massage, No. 19-2, Jalan USJ 1/1A, Pusat Perniagaan Regalia, Subang Jaya dekat sini, antara pukul 2 petang dan 3.30 petang, 26 Mei lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes melibatkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Di Mahkamah Sesyen di sini, Eng Wan dan Sit Mooi mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azwarnida Affandi atas tuduhan menganiaya mangsa sama dengan memukul kanak-kanak tersebut menggunakan dua bilah rotan secara bertubi-tubi pada tarikh, masa, dan tempat sama.

Perbuatan berkenaan didakwa telah menyebabkan anak mereka mengalami kecederaan pada bahagian usus sebelah kiri, patah tulang rusuk kiri dan patah tulang paha kiri.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua pihak pendakwaan tidak mencadangkan ikat jamin terhadap pasangan suami isteri yang tidak diwakili peguam berkenaan.

Zaki Asyraf dan Azwarnida menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes.- UTUSAN ONLINE.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/mahk…#ixzz4jC84PTtg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts