You are here
berita 

Stadium Darul Aman akan diroboh

ALOR SETAR – Stadium Darul Aman merupakan stadium negeri bagi Kedah dan dibuka pada tahun 1962. Stadium yang terletak di sebelah Lebuhraya Darul Aman ini boleh menempatkan kira-kira 30,000 penonton pada satu masa.

Struktur stadium itu pernah diperbesarkan pada 1997, sebelum dibuat pengubahsuaian pada tahun 2006.

Begitu banyak kenangan manis dan sejarah tercipta di situ, terutama apabila Kedah merangkul gelaran ‘juara double treble’ pada musim 2007/2008, mempertahankan koleksi tiga gelaran, iaitu Juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Peminat Hijau Kuning juga pastinya mempunyai kenangan tersendiri bersama pasukan kesayangan di Stadium Darul Aman.

Namun, difahamkan stadium itu bakal dirobohkan untuk dibangunkan projek pembangunan bercampur atas tapak stadium itu.

Berdasarkan kepada Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), pelaksanaan projek adalah bagi menggalakkan kediaman, bekerja dan aktiviti riadah dalam kawasan sama.

Ia bertujuan mewujudkan bandar padat dan cekap, selesa dan menarik sebagai tempat yang berdaya maju untuk didiami.

Cadangan pembinaan stadium baharu menggantikan stadium sedia ada yang akan dipindahkan kerana tapak stadium dicadangkan sebagai kawasan pembangunan bercampur, akan berubah ke Stargate.

Difahamkan, stadium baharu akan menempatkan kompleks stadium berbumbung, padang bersaiz 68 meter x 105 meter, trek sintetik berukuran sembilan meter x 300 meter, bilik persalinan pasukan, bilik korporat, bilik rawatan (atlit/pasukan), kiosk dan ruang perniagaan, serta tempat letak kenderaan.

Kapasiti penonton pula dianggarkan dapat menampung sehingga 60,000-100,000 orang.

Cadang naik taraf, bukan roboh

Pemimpin pembangkang mendedahkan hasrat kerajaan negeri yang mahu merobohkan Stadium Darul Aman dan digantikan sebuah stadium baharu di Stargate, berbanding menaik taraf stadium sedia ada, di mana ia lebih menjimatkan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, buat masa ini ia bukan suatu keperluan di saat rakyat berdepan kos sara hidup tinggi.

“Jika mahu bina stadium baharu semata-mata untuk atasi masalah kapasiti stadium sedia ada, tidak relevan. Memadai dengan menaik taraf atau memperbesarkan stadium atau tambah tempat duduk. Pasukan dunia, Liverpool pun menaik taraf stadium sedia ada,” katanya.

Menurutnya, adalah suatu pembaziran sekiranya membina stadium baharu, berbanding menambah bilangan tempat duduk kepada 60,000 penonton.

“Penggunaan stadium pun bukannya setiap hari, jadi kerajaan negeri harus fikirkan semula kewajarannya. Jangan pula gadaikan kawasan sawah padi yang subur, hanya untuk kepentingan pihak tertentu,” katanya.

Mahfuz berkata, apabila kawasan sawah padi yang luas dikorbankan untuk pembangunan, ia turut merencatkan kawasan sawah berdekatan.

“Kawasan pengeluaran padi berkurang lagi, berlaku penyusutan hasil dan akan beri kesan sampingan kepada sektor ekonomi dan kesuburan tanah. Jika roboh stadium sedia ada, sawah kita ambil, di sini bangunkan bangunan, adakah ia beri keuntungan pada peniaga kecil atau rakyat,” katanya.

Jangan korbankan Stadium Darul Aman

Kesungguhan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mahu membina stadium baru berkapasiti 60,000 dilengkapi ruang komersial, medan selera dan pusat sukan yang didakwa bakal menarik minat syarikat swasta menimbulkan persoalan.

Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung berkata, Stadium Sultan Mizan Zainal Adidin di Terengganu berkapasiti 50,000 yang dibuka sembilan tahun lalu dibina dengan kos RM270 juta.

“Berapa pula kos stadium baharu ini? Siapa sebenarnya mendapat keuntungan? Bagaimana dengan pembiayaan pembinaan stadium? Atau ada rancangan lain robohkan Stadium Darul Aman, yang mempunyai nilai tanah tinggi untuk memperkayakan kroni BN,” katanya.

Menurutnya, walaupun pembinaan stadium baharu bukan perkara negatif, sudah pasti perkara terakhir peminat bola sepak mahu lihat adalah Stadium Darul Aman dikorbankan atau dirobohkan.

“Stadium ini adalah ikonik dan lokasi bersejarah di Alor Setar, banyak kenangan dan perlawanan penting diadakan. Ahmad Bashah dakwa stadium ini sudah lama, tidak dapat menampung kapasiti penyokong, namun meroboh bukan penyelesaian,” katanya.

Hsiao Leung berkata, amat mengecewakan kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak dapat mencari dana untuk menaik taraf Stadium Darul Aman, yang kini dalam keadaan menyedihkan.

“Saya harap Ahmad Bashah beri jaminan, beliau tidak akan korbankan Stadium Darul Aman semata-mata untuk mengejar mimpinya. Apa jadi pada stadium itu selepas stadium baharu siap, beliau tidak pernah nyatakan sebelum ini,” katanya.

Lanjut tempoh bantahan

Sementara Adun Derga, Tan Kok Yew berkata, tempoh sebulan untuk orang awam membuat bantahan terhadap Draf Rancangan Tempatan MBAS perlu dilanjutkan sehingga dua bulan.

“Maklumat pada papan pameran terhad, butiran draf tidak diberikan dan perlu beli cakera padat (CD) RM50. Saya cadangkan MBAS ubah pendekatan dengan mengambil maklum balas terlebih dahulu sebelum draf dan pamer, supaya rakyat faham bentuk pembangunan yang dirancang,” katanya.

Menurutnya, semua pembayar cukai termasuk wakil rakyat kawasan harus disertakan dalam perbincangan sebelum memuktamadkan draf.

“Lebih elok berikan penerangan kepada persatuan penduduk dan penduduk terlibat apa manfaat diperoleh daripada pembangunan itu, kerajaan juga tidak perlu tergesa-gesa mahu bangunkan projek dirancang kerana ia libatkan kos tinggi,” katanya.

Kok Yew berkata, pihaknya bukan membantah pembangunan namun kesan positif dan negatif kepada rakyat harus diutamakan.

“Rakyat perlu bersuara jika tidak setuju, kuasa rakyat yang tentukan pembangunan negeri. Jangan ada tangan ghaib yang cuba mencorakkan landskap pembangunan Kedah. Semua pihak harus ikut prosedur perundangan dan bukan buat projek sembrono,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…roboh-1.633599

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts