You are here

SPRM kutip tiga pemain bola sepak liga Malaysia

Tiga pemain pasukan bola sepak Malaysian Indian Sports Council-Malaysia Indian Football Association (MISC-MIFA) ditahan kerana disyaki menerima rasuah sebagai habuan untuk mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata seorang daripada mereka adalah pemain import berusia 29 tahun manakala dua lagi ialah pemain tempatan berusia 26 dan 27 tahun.

Mereka dikatakan menerima rasuah antara RM10,000 dan RM30,000 daripada bookie dan ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.

“Siasatan mendapati kesemua suspek disyaki terlibat dalam kegiatan itu sejak beberapa tahun lalu. Mereka dipercayai mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit hasil daripada rasuah yang diterima,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sumber itu membayangkan kemungkinan lebih ramai individu akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tangkapan berkenaan.

SPRM, tegasnya, tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan rasuah melibatkan pemain bola sepak yang boleh menjatuhkan reputasi sukan negara.

“SPRM akan terus memantau dan menyiasat pemain bola sepak serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perlu,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/37…edium=facebook

.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts