You are here
berita 

Sesak di plaza tol bukan berpunca sistem ETC

BAGAN SERAI – Peningkatan kesesakan trafik mendadak sepanjang musim cuti persekolahan di setiap plaza tol yang dikuatkuasakan sistem kutipan tol elektronik (ETC) oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika ini adalah 99 peratus berpunca faktor manusia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Ismail Md Salleh berkata, kajian pihaknya mendapati sistem ETC tidak mengalami sebarang masalah, sebaliknya kekurangan kesedaran pengguna jalan raya terhadap perlaksanaan sistem itu menyebabkan kesesakan trafik berlaku.

Menurutnya, perlaksanaan sistem ETC dikhususkan menyelesaikan masalah kesesakan lalu-lintas yang dikenal pasti kerap berlaku melibatkan lebih 20 plaza tol di seluruh negara setiap kali tiba musim perayaan dan cuti persekolahan.

“Tujuan sebenar sistem ETC dikuatkuasakan untuk menyelesaikan masalah kesesakan, bukan menjadi punca peningkatan kesesakan trafik sebagaimana berlaku di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang dan beberapa lokasi lain.

“Kajian LLM mendapati kebanyakan berlaku kesesakan trafik di beberapa plaza tol utama di seluruh negara sepanjang cuti sekolah disebabkan berlaku peningkatan penggunaan lebuh raya bukan dalam kalangan pengguna setia lebuhraya.

“Selain itu, masalah ketidaksampaian maklumat berkenaan kewajiban penguatkuasaan ETC turut menyumbang kepada kesesakan trafik berlaku,” katanya pada sidang media majlis penyempurnaan penyerahan bantuan Back To School anjuran LLM, Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia(PSKLM) dan Koperasi LLM di Dewan Komuniti, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Pengerusi LLM, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali itu menyaksikan seramai 100 pelajar miskin dari Parlimen Bagan Serai menerima sumbangan beg sekolah dan wang tunai bernilai keseluruhan RM20,000.

Ir Ismail berkata, LLM memberi jaminan masalah kesesakan trafik melibatkan setiap plaza tol dikuatkuasakan sistem ETC dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurutnya, LLM juga sedang merangka persiapan untuk menguatkuasakan sepenuhnya sistem ETC di setiap plaza tol di seluruh negara pada tahun hadapan.

sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasion…m-etc-1.599488

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts