You are here
berita 

Sekolah cuti, cikgu tak cuti

Gambar Hiasan.
SITUASI 1:

“Masa cuti sekolah, kami perlu hadir sekurang-kurangnya dua hari untuk kelas tambahan. Di samping itu, tanda kertas periksa kerana peperiksaan dijalankan sebelum cuti sekolah.

“Memang kami dibekalkan cuti tujuh hari setahun, tetapi ia perlu dipohon untuk kes-kes tertentu sahaja. Cuti sekolah adalah cuti untuk pelajar dan guru dimestikan hadir bertugas terutamanya guru yang diarahkan. Tetapi pengetua panggil bertugas biasanya untuk guru yang rajin. Kalau guru kurang rajin, tak ada lah banyak tugas.”

SITUASI 2:

“Kerjaya guru sekarang dah tak sama macam dulu-dulu. Kerja makin bertambah. Cuti sekolah, jangan mimpi nak cuti lama-lama. Kelas tambahan, latihan sukan, debat dan macam-macam lmemerlukan komitmen guru. Itu belum campur kena hadiri kursus, bengkel, mesyuarat dan taklimat.”

Pelbagai rasa disuarakan guru apabila dipanggil bertugas pada cuti sekolah. Hari persekolahan, mereka sudah mengajar, kemudian,perlu lakukan macam-macam tugas seperti memasukkan data, membuat kerja perkeranian dan sebagainya. Bila tiba cuti sekolah, dipanggil pula untuk bertugas.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, Klang, Norazmi Ibrahim punya pendapat tersendiri mengenai isu ini.

Tugas guru

Kes ‘sekolah cuti, cikgu tak cuti’ sebenarnya tidak menjadi isu kerana apabila sekolah bercuti, murid yang bercuti dan guru boleh dipanggil bila-bila masa untuk bertugas, jika diinginkan oleh pihak pentadbir. Namun pentadbir sudah memahami akan situasi ini dan mereka akan agihkan tugas sebaik mungkin.

Kebanyakan guru yang dipanggil, datang dengan rela hati. Dengan ikhlas, sebab ada kerja yang belum disiapkan.

Berkenaan kelas tambahan pula, memang ada pada cuti persekolahan. Kita bukan panggil suka-suka hati. Kita sudah tetapkan jadual khas untuk mereka datang mengajar. Biasanya, untuk cuti seminggu, kita ambil dua tiga hari sahaja buka kelas tambahan. Cuti hujung tahun pula, minggu pertama atau minggu terakhir guru dipanggil mesyuarat. Kita tak kacau hari lain.

Saya puji komitmen guru sekolah ini. Amat bagus dan terima arahan dengan ikhlas. Mereka dah terbiasa datang ke sekolah, jadi bila kena datang masa cuti, mereka datang tanpa banyak alasan. Berkenaan dengan sukatan mata pelajaran yang makin mencabar, saya akui memang ada guru-guru tertekan. Namun, sebagai pendidik, perlu terima setiap perubahan. Sistem pendidikan kita makin maju, pelajar sekarang pun makin pandai, jadi guru-guru tidak perlu memikirkan satu tekanan apabila berkecimpung sebagai pendidik.

Nasihat saya untuk pendidik, biarlah kita dilahirkan sebagai guru dan bukan dijadikan sebagai guru. Dilahirkan sebagai guru, maknanya kita ada aura, tumpuan, keikhlasan, jiwa sebagai pendidik. Melainkan kita ni nak jadi cikgu, sebab tengok kerja mudah, nak senang, nak gaji bulanan. Bila ada niat macam ini, memang kita rasa jadi cikgu itu sebagai beban.

Guru rela berkorban

Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, SK Telok Gadong, Klang, Saleh Norsani berkata, seorang guru akan berkorban apa sahaja demi kemajuan anak didiknya. Tiada keluhan yang didengar, hanya senyuman manis dalam melaksanakan tanggungjawab.

Cikgu Saleh berkata, datang ke sekolah pada masa cuti, itu perkara biasa kerana guru mahu menyiapkan tugasan atau kerja-kerja yang tertunggak. Ada juga guru menggunakan cuti sekolah dengan mengadakan latihan berkaitan aktiviti kokurikulum, bagi yang menyertai pertandingan. Justeru, waktu cuti sekolahlah masa terbaik untuk mereka melatih pelajar.

Selain itu, kelas tambahan adalah program biasa yang akan berjalan pada masa cuti. Kelas tambahan ini biasanya disasarkan pada murid yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini atau tahun akan datang.

“Guru sebenarnya tiada cuti. Mereka bagaikan bekerja 24 jam sehari. Bunyi sahaja cuti sekolah, tetapi bila dipanggil bertugas, mereka kena hadir juga.

“Tetapi, sekolah tidaklah kejam. Kita sediakan jadual penggiliran. Ada hari-hari tertentu mereka perlu bertugas dan selebihnya, mereka boleh menghabiskan masa bersama keluarga,” katanya merangkap Pengerusi Majlis Penolong Kanan Kurikulum Daerah Klang.

Beliau berkata, rungutan daripada guru itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana mereka juga ada hati dan perasaan.

“Tiada manusia yang sempurna. Bila kita rasa sedih, kita akan meluah pada rakan-rakan rapat. Itu biasa. Cuma, saya cukup hormati mana-mana guru yang begitu ikhlas dengan kerjaya mereka. Mereka sanggup berkorban masa dan tenaga untuk anak murid masing-masing,” jelas Cikgu Saleh.

Jangan merungut dengan tugas

“Bila kita jadi cikgu, kita kena terima apa sahaja arahan daripada majikan. Masa cuti, jika diarah datang ke sekolah, kena datanglah. Diminta handle kelas tambahan, program sekolah, sukan dan macam-macam lagi, itu tugas biasa bagi seorang guru.

“Tetapi, perlu diingat, tak semua masa cuti sekolah tu, cikgu kena datang. Kadang-kadang ada tiga hari seminggu, empat atau lima hari seminggu. Bergantung kepada jadual yang dibuat. Pihak sekolah tidaklah kejam. Mereka juga beri peluang kepada guru dan murid untuk bercuti,” kata Cikgu Zainol Muda, 50, dari SK Felda Laka Selatan, Changlun, Kedah.

Cikgu Zainol berkata, cuti sekolah ada beberapa peringkat dan jadual guru ke sekolah pada masa cuti, dikendalikan sepenuhnya oleh pentadbir.

“Kalau cuti yang sebulan tu, pentadbir akan buat jadual penggiliran. Ada cikgu kena datang ke sekolah buat kelas tambahan, gotong royong ceriakan sekolah, join program atau lawatan dan lain-lain. Kalau cikgu nak balik kampung, kena bagi tahu awal pada pentadbir, jadi mereka akan susun jadual dengan baik.

“Ini saya bagi tahu berdasarkan sistem yang dilakukan oleh sekolah saya, sekolah lain, mungkin agak berbeza,” ujarnya.

Sebagai guru, kita kena terima apa yang telah ditetapkan oleh sekolah. Ini dah memang tugas hakiki pendidik, tidak boleh merungut atau merintih.

“Sudah 27 tahun saya berkecimpung dalam kerjaya pendidik. Pelbagai pahit manis telah dilalui dan saya anggap ini sesuatu yang menyeronokkan.

“Pada pendidik yang baru lima hingga enam tahun jadi guru, mohon jangan terkejut jika anda dipanggil bertugas pada masa cuti. Sikap tak puas hati, rungutan dan bebelan, janganlah ditunjuk pada warga pendidik lain. Anggaplah ini tugas yang harus anda laksanakan.

“Jika ada masalah, jumpa terus dengan pentadbir. Sebagai manusia, mereka juga faham dengan apa yang kita hadapi, bincang dari hati ke hati…semua akan ok nanti,” ujarnya.

sumber:http://www.sinarharian.com.my/gps-be…-cuti-1.642772

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts