You are here

Sayu – Lagi 3 Hari Nikah, Polis Maut Dilanggar Penjenayah

Mangsa dirempuh kereta penjenayah selepas rompak van rokok
TELUK INTAN 26 Mei -Seorang anggota polis yang bakal melangsungkan perkahwinan Ahad ini maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan penyamun dalam kejadian di Batu 10 menghala ke Alor Pongsu di sini hari ini.
2
Motosikal dinaiki mangsa terjatuh ke dalam parit selepas dirempuh sebuah kereta dinaiki sekumpulan penyamun.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa, Lans Koperal Mohd. Azuan Abdullah, 25, dari Unit Ronda Bermotosikal (URB) Balai Polis Kuala Kurau meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah akibat tercampak daripada motosikal yang ditunggangnya.
Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, mangsa yang berasal dari Kulai, Johor dilanggar oleh salah satu daripada dua kereta dinaiki penjenayah terbabit yang melarikan diri setelah merompak sebuah van rokok.
“Mangsa dirempuh dari arah belakang oleh satu dari dua kereta yang dinaiki penjenayah ketika anggota berkenaan cuba mengejar mereka.
“Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak dari motosikalnya dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kereta yang dinaiki suspek adalah jenis Toyota Wish berwarna perak bernombor pendaftaran WRV 5308 dan sebuah lagi kereta jenis Honda,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid.
Jenazah Allahyarham Mohd. Azuan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di Kulai.
Allahyarham bakal melangsungkan majlis perkahwinan dengan pasangannya, Nur Faizah Muhammad Rejab di Kampung Paip, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar.
Menurut Acryl, kumpulan penjenayah terbabit melarikan diri setelah menyamun bersenjatakan parang sebuah van rokok di Parit Buntar.
Katanya, setakat ini polis belum dapat mengenalpasti suspek dan usaha sedang giat dijalankan untuk menjejaki kumpulan berkenaan.
“Daripada senario kejadian itu, kita percaya suspek agresif dan bahaya, mereka tidak teragak-agak menggunakan apa sahaja cara untuk melepaskan diri daripada ditahan polis.
“Polis menyeru orang ramai supaya bekerjasama jika ada maklumat mengenai kes ini untuk kita memberkas kumpulan penjenayah ini,” katanya.
Sementara itu, kenderaan yang dipercayai merempuh mati anggota polis berkenaan ditemui telah dibakar di kawasan Ara Kuda, Tasik Gelugor, petang ini.
Menurut sumber, kereta itu ditemui oleh orang ramai di kawasan belukar kira-kira 200 meter dari jalan raya pada pukul 5.30 petang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor bergegas ke tempat kejadian setelah dihubungi bagi memadamkan kebakaran. –UtusanMalaysia
Laporan dari Berita Harian:
Sayu – Lagi 3 Hari Nikah, Polis Maut Dilanggar Penjenayah
Bagan Serai: “Dia begitu teruja menanti kenduri kahwin kami Ahad ini dengan semua barang hantaran sudah disiapkan.”
Demikian kata Norfaizah Mohd Rejab, 22, tunang kepada Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, yang terbunuh ketika bertugas selepas motosikalnya dirempuh penjenayah di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu, jam 1.15 petang semalam.

2
Lebih menyedihkan, kejadian berlaku hanya selepas kira-kira dua jam mangsa menghubungi Norfaizah dan selepas dua hari arwah menyambut hari jadinya.
Semalam adalah hari terakhir Mohd Azuan, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, bekerja sebelum bercuti panjang untuk berkahwin.
2
“Saya hampir pitam mendengar berita kematiannya kerana lebih kurang jam 11 pagi (semalam), dia mengirimkan SMS meminta saya makan ubat jika berasa kurang sihat.
“Saya tidak menyangka perkenalan sejak kira-kira empat tahun lalu berakhir dengan cara begini,” katanya.
Norfaizah bagaimanapun reda dengan pemergian arwah dan berharap pengorbanannya ketika berkhidmat kepada masyarakat mendapat ganjaran sewajarnya.
“Sekarang semuanya ibarat ‘nasi sudah menjadi bubur’ dengan majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung di Alor Setar, Kedah, hujung minggu ini, bertukar menjadi kenduri arwah,” katanya ketika ditemui semalam.
Mohd Azuan dan dua rakan masing-masing menaiki motosikal Kawasaki Ninja Unit Ronda Bermotosikal (URB) mengejar sebuah kereta Toyota Wish dinaiki tiga penjenayah yang dipercayai terbabit dalam rompakan van rokok di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu, dekat situ.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata motosikal mangsa dipercayai dirempuh sebuah kereta Honda Civic dinaiki rakan penjenayah itu.
Mangsa yang cedera parah di kepala, dada dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya tidak cedera.
Katanya, berdasarkan jarak pelanggaran dan kedudukan motosikal ditemui, polis percaya kejadian itu disengajakan dan dirancang.
“Polis masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga berlaku kematian.
“Saya juga terkilan tidak sempat bertemu arwah atas kesibukan kerja, sedangkan dia beberapa kali menyatakan hasrat bertemu saya bagi menyerahkan kad jemputan perkahwinan,” katanya.
Beliau berkata, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat malam tadi sebelum di hantar ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 27, Kulaijaya, Johor untuk dikebumikan. –BeritaHarian

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts

Leave a Comment