You are here
berita 

RUMAWIP boleh disewakan, kepada warga tempatan sahaja

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bergambar bersama sepuluh penerima terawal pada majlis pelancaran dan penyerahan 351 kunci kediaman Residensi Sentulmas, Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR : Kementerian Wilayah Persekutuan memberi kelonggaran untuk pemilik unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) menyewakan kediaman mereka kepada pihak ketiga dengan syarat tertentu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata kelonggaran itu diberikan dalam kes tertentu seperti pemilik berpindah kerja luar dari Kuala Lumpur dan terpaksa meninggalkan kediaman mereka kosong.

Katanya, mereka boleh menyewakan kediaman dengan syarat tidak kepada warga asing.

“Dalam kes terbaru, terdapat warga asing menyewa dua unit RUMAWIP Residensi Pandanmas dikenakan tindakan serta merta, dihalau keluar dari kediaman berkenaan, manakala pemilik diberi amaran oleh kementerian.

“Badan Pengurusan Bersama (JMB) sentiasa memantau pemilik dan penyewa supaya mematuhi dasar RUMAWIP, iaitu rumah mesti dihuni rakyat tempatan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran dan penyerahan 351 kunci kediaman Residensi Sentulmas, di sini, hari ini.

Kediaman RUMAWIP Residensi Sentulmas berkeluasan 274 meter persegi, ditawarkan pada harga RM300,000 seunit. Ia dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak letak kereta.

Projek yang turut dilengkapi kolam renang, gimnasium dan taman permainan kanak-kanak itu berjaya disiapkan 23 bulan lebih awal selepas kerja pembinaan dimulakan pada 2015.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata, mengikut syarat asal, pemilik tidak boleh menjual kediaman mereka dalam tempoh 10 tahun supaya ia benar-benar dimanfaatkan sebagai tempat tinggal diri dan ahli keluarga.

“Kami sedia maklum harga pasaran bagi seunit rumah dengan keluasan 274 meter persegi kini mencapai RM600,000, tetapi atas keprihatinan kerajaan, harga RUMAWIP ditetapkan tidak melebihi RM300,000.

“Dengan adanya rumah mampu milik bersama kemudahan kondominium seperti ini, pemaju lain diingatkan agar tidak mengaut untung berlebihan, jual rumah pada harga sewenang-wenangnya sehingga rakyat tidak mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Beliau berkata, matlamat kerajaan adalah membangunkan rumah lebih murah daripada RM300,000 seperti contoh RM230,000 seunit bagi RUMAWIP di Taman Desa di ibu negara.

“Lokasinya tidak jauh dari bandar supaya rakyat dapat menikmati kemudahan pengangkutan awam, tempat kerja, sekolah dan lain-lain di sekitar tempat tinggal mereka,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/wi…n-tengku-adnan

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts