You are here
berita 

Roti burger ubah kehidupan

BERMULA dengan sekadar mencari duit poket untuk meneruskan pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi, Mohd Zulkhafli Awang, 52, tidak menyangka akan ‘terjun’ dalam bidang pembuatan dan perniagaan roti burger dikenali UK Burger.

Menceritakan kisah awal terbabit dalam bidang tersebut, bapa kepada tiga anak itu berkata, ia berlaku secara kebetulan dan niat asalnya hanya untuk menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian swasta berdekatan Medan Kidd, Ipoh.

“Masa itu tahun 1979, saya pada awalnya kecewa sebab gagal dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Niat nak sambung lagi belajar memang membuak-buak masa itu cuma bapa saya beritahu dia tak mampu nak tanggung sebab tiada wang.

“Saya ambil keputusan untuk berhijrah ke Ipoh. Nak dijadikan cerita, bapa saudara saya yang bekerja di sebuah kilang roti di Jalan Kuala Kangsar, mengajak saya bekerja di situ sebagai pembuat roti untuk menampung belanja sekolah,” katanya.

Menurutnya, semasa bekerja di kilang itu, tugas membuat roti burger pada awalnya dilakukan seorang lelaki lain, namun disebabkan banyak aduan daripada pelanggan menyebabkan tugas itu diserahkan kepadanya.

Katanya, meskipun pada masa itu dia masih baru dan kebanyakannya kerja-kerja pembuatan dilakukan secara manual, namun majikannya amat berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan.

“Paling saya tak boleh lupa apabila majikan panggil saya dan beritahu pelanggan suka dengan hasil kerja saya selain roti-roti burger dan hotdog yang dihasilkan tak dihantar balik ke kilang sepertimana sebelum ini.

“Selepas itu, majikan saya juga memanggil seorang pembuat roti berbangsa Inggeris selama seminggu untuk mengajar saya cara menghasilkan roti yang berkualiti,” katanya.

Mohd Zulkhafli berkata, dia mengakui bahawa sepanjang lebih lima tahun berkhidmat di kilang berkenaan, banyak ilmu dan selok-belok berkaitan pembuatan roti burger diketahui secara khusus.

“Sehinggakan pada masa itu, resipi semua dah ada dalam kepala, tak perlu pun tengok pada kertas resipi sedia ada pun,” katanya.

Hasil 3,600 roti burger sehari

Mengulas mengenai perniagaan yang dijalankan, anak kelahiran Taiping itu berkata, dia mampu menghasilkan sekitar 3,600 biji roti burger sehari di bawah jenama UK Burger untuk pasaran sekitar Ipoh dan Parit Buntar.

Katanya, meskipun berdepan pelbagai kekangan terutama dari sudut kemudahan peralatan seperti mesin pengadun tepung, ketuhar dan sebagainya namun dia bersyukur kerana mampu memenuhi cita rasa pelanggan.

“Roti burger berkenaan dipasarkan di Ipoh Frozen dan Hajar Frozen di Parit Buntar. Selain itu, saya juga mendapat tempahan daripada beberapa pelanggan tetap yang menjual burger sekitar Ipoh.

“Setakat ini, memang tak menang tangan. Dengan kekangan dari sudut kakitangan dan kemudahan kelengkapan, itu sahaja jumlah yang boleh dihasilkan. Apa-apa pun saya tetap bersyukur,” katanya.

Dia berkata, maklum balas yang diterima daripada pelanggan juga positif dan kebanyakan daripada mereka berpuas hati dengan produk keluarannya itu.

“Ada yang beritahu, walaupun harga yang ditawarkan berpatutan namun kualiti yang ada pada roti-roti yang dihasilkan setanding dengan jenama-jenama lain,” katanya.

Impi kilang sendiri

Mohd Zulkhafli berkata, sehingga kini dia membelanjakan lebih RM70,000 untuk membeli kelengkapan dan kemudahan untuk menghasilkan produk berkenaan.

Katanya, wang tersebut diperoleh hasil simpanan sendiri selain pinjaman mikro kredit yang dibuat melalui Yayasan Bina Upaya (YBU).

“Saya masih tak puas hati lagi dengan keadaan sekarang sebab impian saya nak memiliki sebuah kilang yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lengkap.

“Saya yakin kalau ada bantuan daripada pihak berkaitan, produk saya ini mampu dikembangkan lagi seterusnya mungkin mampu menembusi pasaran seluruh negara,” katanya.

Dia berkata, sekiranya impian itu berjaya direalisasikan, dia yakin dapat memenuhi permintaan pelanggan.

“Sekarang ini, mesin saya guna kebanyakannya berkualiti rendah dan agak sukar untuk hasilkan jumlah roti dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/…dupan-1.622982

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts