You are here
berita 

Rakyat mahu rumah, gaji setimpal bukan dekoder

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub membidas keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam yang mengumumkan pemberian dekoder percuma bagi siaran TV digital kepada 4.2 juta penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Dalam satu kenyataan media, hari ini, Salahuddin mempersoalkan pihak yang akan menanggung kos dekoder bernilai RM199 setiap satu itu dan menempelak Najib yang dengan penuh bangga menyatakan Malaysia satu-satunya negara berbuat demikian.

“Najib perlu sedar, kenapa tiada negara lain buat tindakan sedemikian kerana hanya pemimpin yang tidak waras akan isu sebenar rakyat sahaja yang akan buat sedemikian.

“Saya nak tanya berapa kos yang telah dilibatkan dalam projek ini?”soalnya sambil berkata wang yang diperuntukkan itu sepatutnya disalurkan untuk menyelesaikan pokok permasalahan yang membelenggu rakyat.

Menurutnya, jika negara mampu menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji yang baik, rakyat boleh menyelesaikan keperluan lain mereka tanpa perlu kerajaan membelikan dekoder.

Bagi Salahuddin, tindakan Najib itu langkah terdesak untuk menjalankan “projek segera” menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Najib perlu sedar bahawa rakyat khususnya generasi muda mahu ialah peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal.

“Rakyat mahu GST dihapuskan, rakyat dambakan rumah mampu milik yang mencukupi, rakyat mahu harga barang keperluan dikawal, rakyat mahu biasiswa pendidikan tinggi tidak disekat dan sebagainya.

“Saya juga berharap kos dan tender yang terlibat dapat didedahkan kepada umum bagi mengelakkan kes-kes salah guna kuasa berulang,” katanya.

Najib pada majlis pelancaran perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) myFreeview malam semalam mengumumkan 4.2 juta dekoder percuma untuk diagihkan.

Jumlah itu merangkumi 2.2 juta set dekoder percuma sumbangan kerajaan sebagai tambahan kepada dua juta set dekoder yang diperuntukkan MYTV Broadcasting Sdn Bhd, yang mengendalikan infrastruktur dan kemudahan rangkaian DTT.

MyFreeview adalah projek diterajui Kementerian komunikasi dan multimedia dan dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyediakan perkhidmatan televisyen dan siaran radio digital secara percuma.

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/384844

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts