You are here
berita 

Rakyat Jepun yang belum kahwin lebih selesa dengan patung

Foto hiasan.

TOKYO – Kerajaan Jepun baru-baru ini meluahkan rasa bimbang apabila negara itu mencatatkan penurunan drastik terhadap populasi penduduk.

Kajian dan tinjauan mendapati hampir 70 peratus rakyat Jepun (lelaki) berumur 18 tahun hingga 34 tahun masih belum berkahwin dan 60 peratus wanita yang belum berkahwin tidak menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki.

Dalam masa yang sama, kira-kira 42 peratus lelaki dan 44.2 peratus wanita Jepun mengaku yang mereka masih perawan.

Memetik laporan The Japan Times, kebanyakan mereka yang belum berkahwin dikatakan lebih selesa mengadakan hubungan intim dengan patung seks.

Meskipun pentadbiran Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berusaha meningkatkan kadar kelahiran menerusi sokongan penjagaan kanak-kanak, namun Jepun terus berdepan dengan masalah populasinya.

Pada 2010, kajian mendapati hanya 36.2 peratus lelaki dan 38.7 peratus wanita mengakui tidak pernah mengadakan hubungan seks.

Kajian itu, yang dikeluarkan hari ini, telah dijalankan oleh Institut Nasional dan Penyelidikan Keselamatan Sosial.

Institut ini telah menjalankan kajian yang sama setiap lima tahun sejak 1987.

Menurut kajian daripada institut itu, rakyat Jepun tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendirikan rumah tangga.

Namun lelaki dan wanita di negara itu sebaliknya mempunyai pemahaman berbeza dengan perkataan ‘komitmen’.

Menurut kajian itu lagi, meskipun tidak mendirikan rumah tangga dan mengembangkan zuriat, rata-rata mereka, iaitu sebanyak 90 peratus daripada responden menyatakan keinginan untuk berkahwin pada masa akan datang.

“Mereka mahu berkahwin akhirnya. Tetapi mereka cenderung meletakkan konsep perkahwinan itu di luar kepentingan kerana mereka mempunyai jurang antara idealisme dan realiti.

“Sebab itu mereka berkahwin lewat atau membujang seumur hidup, yang menyumbang kepada kadar kelahiran negara yang rendah,” lapor kajian tersebut.

Peningkatan kepada kadar kelahiran adalah salah satu matlamat dalam pentadbiran Abe, yang telah mengisytiharkan ia akan meningkatkan kadar kesuburan menjelang tahun 2025.

Kerajaan berharap dapat mencapai matlamat tersebut dengan menyalurkan segala bentuk bantuan yang mungkin diperlukan untuk membesarkan anak-anak.

Kajian terakhir dijalankan pada Jun tahun lepas meliputi 8,754 responden yang masih belum berkahwin dan 6,598 pasangan suami isteri di seluruh negara.

http://www.sinarharian.com.my/global…ahwin-1.607184

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts