You are here
berita 

Projek telur kaviar RM47.6 juta, SPRM tahan empat pegawai Felda

Seorang pekerja mengendalikan telur ikan sturgeon di sebuah ladang di Baygorria, 270km utara Montevideo di Uruguay pada 31 Ogos tahun lalu. — Foto AFP

KUALA LUMPUR, 24 Jan — Empat pegawai dan seorang bekas pegawai Felda ditahan di sekitar Lembah Klang hari ini kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan projek ternakan ikan Sturgeon bernilai RM47.6 juta.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata seorang daripada mereka adalah pegawai kanan bergelar Datuk, seorang bekas pegawai (yang menyandang jawatan tinggi), seorang bertugas di luar negara, seorang pegawai terbabit projek penternakan ikan itu dan seorang lagi penolong pegawai tadbir.

Kesemua mereka berusia 30, 33, 38, 53 dan 57 tahun.

Sumber itu memberitahu bahawa mereka ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang di antara 11.30 pagi dan 1.30 tengah hari tadi menerusi Op Caviar SPRM bagi menyiasat dakwaan penyelewengan projek pemindahan teknologi penternakan ikan sturgeon bernilai US$10 juta (RM47.6 juta) sejak 2014.

“Mereka dipercayai telah menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kepentingan sendiri,” kata sumber itu ketika dihubungi Bernama di sini.

Sumber SPRM itu berkata dalam satu mesyuarat pada Januari 2013, lembaga pengarah Felda telah meminta suspek yang menyandang jawatan tinggi itu supaya menyediakan laporan terperinci berhubung pelaburan projek berkenaan untuk dibentangkan.

Sumber itu berkata suspek berkenaan sebaliknya menubuhkan Felda Carviative Sdn Bhd (FCSB) pada Januari 2014 tanpa pengetahuan lembaga pengarah Felda, bahagian perundangan dan bahagian kewangan Felda.

Suspek kemudian menandatangani satu perjanjian bernilai US$45 juta (RM146.25 juta) dengan sebuah syarikat penternakan ikan sturgeon di Korea tanpa pengetahuan lembaga pengarah Felda, katanya.

Sumber itu berkata siasatan awal SPRM mendapati projek itu tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar Pahang dan pembayaran mula dibuat kepada syarikat Korea berkenaan seminggu selepas FCSB ditubuhkan.

Setakat ini, suspek telah meluluskan kira-kira US$10 juta (RM47.6 juta) daripada dana Felda untuk membuat pembayaran kepada syarikat Korea itu melalui FCSB tanpa pengetahuan dan kelulusan Lembaga pengarah Felda, katanya.

“Perjanjian kontrak yang ditandatangani bagi pelaksanaan projek ikan sturgeon itu adalah meliputi pelaksanaan technology transfer service agreement (TTSA) dan design and build construction agreement (DBCA),” kata sumber SPRM itu.

Menurutnya, perjanjian itu dipercayai telah ditandatangani oleh suspek bergelar Datuk dan suspek yang menyandang jawatan tinggi itu.

Sementara itu, pengarah siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani yang mengesahkan tangkapan itu berkata pihaknya juga merampas dokumen-dokumen berhubung projek tersebut yang dipercayai dapat membantu siasatan SPRM.

“Kesemua suspek dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2015 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 November 2016 mendedahkan sehingga 30 Jun 2016, Felda belum mendapat pulangan, aset dan pemindahan teknologi daripada projek perikanan itu. — Bernama

sumber : http://www.themalaymailonline.com/pr…-pegawai-felda

.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts