You are here
berita 

Polis Tembak Mati 2 Anggota Geng Mamak

IPOH – ‘Misai’ dan ‘Ganesh’ iaitu dua anggota kumpulan penjenayah paling dikehendaki, Geng Mamak, ditembak mati oleh polis di Jalan Tanjung Rambutan-Tanah Hitam, Chemor, dekat sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, dua suspek berusia antara 30 dan 50 tahun itu ditembak mati selepas cuba merempuh kereta polis sebelum melepaskan empat das tembakan dan cuba menyerang anggota polis dengan parang.

Katanya, sepasukan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Pulau Pinang yang melakukan rondaan terserempak kereta suspek dalam keadaan mencurigakan di Tanjung Rambutan.

Katanya, polis cuba menahan kereta Toyota Vios yang dinaiki suspek namun ia memecut laju melalui Jalan Tanjung Rambutan-Tanah Hitam.

“Tiba di satu selekoh, polis berjaya memintas kereta itu sebelum pemandu cuba melanggar kereta polis tetapi terbabas,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu kereta berkenaan kemudian melepaskan empat das tembakan, manakala rakannya keluar sambil melibas parang ke arah anggota polis pada jarak dekat.

“Dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis telah membalas tembakan. Tiada anggota polis mengalami kecederaan,” katanya.

Hasnan berkata polis telah merampas pelbagai barangan yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah antaranya sepucuk pistol, parang, kapak, sarung tangan dan vest polis selain kereta itu yang dilaporkan hilang di Taiping.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek itu merancang untuk melakukan samun di Tanjung Rambutan dan polis tidak menemukan dokumen pengenalan diri suspek,” katanya.

Menurutnya, kumpulan itu telah melakukan 28 kes samun di enam negeri tahun ini membabitkan Perak dua kes, Selangor (6), Melaka (1), Kedah (1), Negeri Sembilan (6) dan Pulau Pinang (12).

Katanya, polis sedang mengesan saki baki kumpulan itu yang aktif melakukan samun, pecah rumah dan mencederakan mangsa sejak 20 tahun lalu. – BERNAMA

http://www.mynewshub.cc/terkini/poli…ta-geng-mamak/

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts