You are here
berita 

Polis berusia 49 tahun didakwa berbogel depan jiran

P Maniam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini kerana dituduh melakukan aksi terlampau dengan berbogel di hadapan jiran.

BANDARAYA MELAKA – Gara- gara melakukan aksi terlampau dengan berbogel di hadapan jiran, seorang anggota polis lelaki berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Tertuduh, P Maniam, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya, dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati berkelakuan kurang sopan ketika berada di belakang rumah dengan berbogel untuk dilihat oleh seorang remaja berusia 17 tahun dan disaksikan oleh bapanya berusia 57 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Saujana Indah, Bukit Katil Melaka sekitar jam 5.30 petang, pada 18 dan 25 April 2017 lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100 jika sabit kesalahan.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Shazreen Nadia Saaban mencadangkan jaminan RM6,000 diberikan terhadap tertuduh.

Maniam yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan yang serendah-rendahnya.

Mohd Firdaus pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

http://www.sinarharian.com.my/semasa…jiran-1.782727

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts