You are here
berita 

Pesawat Pakistan bawa muatan berlebihan dengan 7 penumpang berdiri

PIA dipercayai dengan sengaja memberi kebenaran kepada tujuh penumpang menaiki pesawat Boeing 777 walaupun semua tempat duduk sudah penuh. Mereka terpaksa berdiri sepanjang empat jam perjalanan. Agensi

KARACHI 25 Feb. – Syarikat penerbangan antarabangsa Pakistan (PIA) akan menyiasat dakwaan pesawatnya membawa ‘lebihan’ muatan iaitu tujuh penumpang yang terpaksa berdiri sepanjang perjalanan selama empat jam dari Karachi ke Madinah baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, penerbangan itu dikatakan sengaja memberi kebenaran kepada tujuh penumpang berkenaan menaiki pesawat walaupun semua tempat duduk sudah dipenuhi.

BBC melaporkan, penumpang yang berlebihan terpaksa berdiri di tepi dan di lorong kosong tempat duduk serta diberikan tiket bertulis tangan pada 20 Februari lepas.

Perkara itu didedahkan secara meluas oleh sebuah akhbar tempatan, The Dawn yang mempersoalkan bagaimana penerbangan Boeing 777 boleh membawa 416 penumpang termasuk anak kapal sedangkan kapasitinya hanya 409 tempat duduk.

Akhbar tersebut menuduh pihak berkuasa penerbangan awam negara ini tidak mengambil tindakan tegas terhadap syarikat penerbangan atau kakitangannya yang menyebabkan nyawa penumpang berrisiko tinggi.

“Bagaimana pihak yang memeriksa tiket boleh membenarkan seseorang itu masuk ke dalam kapal terbang dengan tiket bertulis tangan dan bukan cetakan komputer?

“Mengapa kapten Boeing 777 ini juga tidak menyedari kehadiran penumpang berlebihan yang berdiri sepanjang perjalanan selama empat jam?” soal The Dawn.

Dalam pada itu, jurucakap PIA, Danyal Gilani memberitahu BBC, pihaknya sedang menyiasat bagaimana perkara ini boleh terjadi dan berjanji akan menanganinya dengan telus.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan tempoh tamat siasatan itu sebaliknya hanya berjanji akan menyiasat dan mengambil tindakan pada yang perlu.

Pada bulan Disember lalu, seramai 48 penumpang PIA maut apabila pesawat itu terhempas di utara negara ini.

https://www.utusan.com.my/berita/lua…bihan-1.449001

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts