You are here
berita 

Peniaga sate ditetak kerana tak bayar duit arang RM4

KOTA BHARU 22 Feb. – Seorang pemilik kedai runcit ditahan selepas bertindak menetak kepala seorang peniaga sate di Pasir Mas, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Ab Rahman Ismail berkata dalam kejadian 6.30 petang itu, suspek berumur 28 tahun dikatakan menuduh mangsa yang berusia 20 tahun tidak menjelaskan bayaran arang berjumlah RM4 dari kedainya sebelum tiba-tiba menyerang dan menetak mangsa.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini, manakala mangsa yang cedera di kepala menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Tendong, Pasir Mas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Menurutnya, polis merampas sebilah golok sepanjang 50cm yang dipercayai digunakan dalam kes itu selepas menahan suspek di rumahnya di Kampung Kubang Ketam, Pasir Mas pada 11 malam tadi.

“Ujian air kencing yang dijalankan didapati suspek tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata tajam.

Ab Rahman berkata, sepanjang 1 Januari tahun ini hingga sekarang, sebanyak 37 kes dilaporkan berkaitan kes mendatangkan kecederaan di Kelantan.

Beliau berkata, kebanyakan kes itu berpunca daripada sikap panas baran individu membabitkan pergaduhan menggunakan senjata tajam, kayu atau topi keledar.-BERNAMA

http://www.utusan.com.my/berita/jena…-sate-1.448003

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts