You are here
berita 

Peniaga pukul peniaga kedai sebelah kerana curi pelanggan

SUSPEK diminta tampil membantu siasatan.

Jempol: Berang kerana perniagaannya merudum, seorang peniaga kedai runcit di Taman Meranti, Bahau, di sini, membelasah pemilik kedai runcit berdekatan selepas mendakwa lelaki itu merampas pelanggannya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, suspek berusia 38 tahun membelasah rakan peniaga berusia 27 tahun.

Katanya, kejadian berlaku di sebuah restoran berhampiran apabila suspek mendakwa mangsa mempengaruhi pelanggan supaya tidak membeli barang di kedainya.

“Pada mulanya mereka bertikam lidah sebaik suspek menuduh mangsa merampas pelanggan.

“Kemuncak tercetus apabila lelaki itu mengambil topi keledar dan menghentak belakang badan mangsa. Tidak cukup dengan itu, mangsa turut ditumbuk di kepala serta muka,” katanya.

Noorzainy berkata, akibat kejadian, mangsa mengalami pendarahan serta dirawat di Hospital Jempol, dekat sini, dan mangsa membuat laporan di Balai Polis Bahau pada hari kejadian.

“Sepasukan anggota polis bergegas ke kedai runcit serta rumah suspek. Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri.

“Polis meminta peniaga berkenaan tampil menyerahkan diri bagi membantu siasatan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

http://www.hmetro.com.my/node/201913

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts