You are here
berita 

Peniaga kekalkan harga makanan

Hamzah (kanan), melayan pelanggan yang datang ke gerainya.
IPOH – Rentetan kenaikan harga santan di pasaran, timbul persoalan dalam kalangan pengguna terutamanya terhadap golongan peniaga makanan yang secara lazimnya pasti menggunakan santan dalam penyediaan menu harian di premis masing-masing.

Justeru wujud spekulasi yang mengatakan ada kemungkinan peniaga akan menaikkan harga makanan sedia ada atau mengurang sukatan tertentu dalam penyediaan makanan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa premis makanan sekitar bandar raya semalam mendapati golongan peniaga kebanyakannya tidak begitu terkesan dengan kenaikan harga santan yang disifatkan masih pada kadar yang berpatutan.

Malah ada juga peniaga yang masih mengekalkan harga serta sukatan bagi menyediakan menu makanan di premis mereka.

Bagi peniaga nasi lemak berlauk, Hamzah Mohd Saleh, 65, kebanyakan harga makanan di premisnya, masih kekal seperti dahulu dan dia tidak bercadang untuk menaikkannya pada masa akan datang.

Menurutnya, dia juga tidak mengurangkan sukatan bagi penyediaan hidangan berkenaan demi memastikan kepuasan pelanggan.

“Harga makanan di warung saya ni kekal macam biasa. Tak naik. Sukatan pun masih sama. Tiada yang saya kurangkan, tak ada perubahan.

“Semuanya adalah untuk memastikan pelanggan berpuas hati. Alhamdulillah, setakat ini belum ada lagi pelanggan yang merungut pasal sukatan makanan yang disediakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai kenaikan harga santan, Hamzah berkata, kenaikan berkenaan tidak banyak memberi kesan kepada perniagaannya kerana pembekal masih menawarkan bekalan pada kadar harga yang terbaik.

Katanya, pihaknya juga tidak ada berdepan sebarang masalah dengan pihak vendor yang membekalkan santan dan masih lagi mendapat bekalan pada kadar harga yang berpatutan.

“Setakat ni tak ada masalah untuk saya mendapat bekalan santan. Semuanya masih pada harga yang berpatutan.

“Namun harapan saya, biarlah harga santan ni berkekalan dan tidak naik selepas ini. Jika naik juga, susahlah semua peniaga,” katanya.

Pendapat itu dipersetujui seorang lagi peniaga, Halimaton Saadiah Jaafar, 45, yang masih mendapat bekalan santan pada kadar harga RM8 sekilogram.

Katanya, biarpun ada peniaga yang mengatakan boleh mendapat bekalan santan pada harga RM7 sekilogram, namun dia tetap merasakan harga RM8 sekilogram yang diperolehnya masih berpatutan.

“Dah lama saya dapat harga santan RM8 sekilogram. Kira masih okeylah, sebab saya boleh mendapatkan bekalan dari tempat yang berhampiran.

“Kalau ada yang kata boleh dapat santan yang jauh lebih murah, saya tak tahulah. Mungkin peniaga tambah air dan bukannya 100 peratus santan asli. Kita tak tahu,” katanya.

Halimaton Saadiah berkata, berikutan harga santan yang diperolehnya, dia juga tidak menaikkan harga makanan di premisnya.

Katanya, sukatan bagi penyediaan makanan juga masih kekal seperti biasa demi menjaga kualiti makanan yang dijual.

“Saya tak kurangkan pun sukatan makanan. Sama macam biasa. Selain tu, harga makanan juga saya tak naikkan, sebab susah juga bila kita naikkan harga ni. Sudah tentu orang ramai akan pergi kepada pesaing kita.

“Alhamdulillah, setakat ni tak adalah saya terima apa-apa aduan atau rungutan daripada pelanggan. Saya juga berharap harga santan ni tak naik selepas ini. RM8 sekilogram tu kira okeylah, kalau naik RM9 sekilogram mungkin saya akan ‘bising’ juga,” katanya.

Sementara itu, bagi Zalila Malik, 47, kenaikan harga santan di pasaran memang tidak memberi kesan terhadap perniagaannya.

Bagaimanapun, Zalila tetap berharap harga barangan asas seperti santan, gula dan minyak janganlah dinaikkan selepas ini kerana ia akan memberi kesan besar terutamanya kepada peniaga sepertinya.

“Santan ni saya hanya guna untuk nasi lemak. Kuih muih di gerai saya ni ada orang hantar. Jadi tak terasa sangatlah.

“Tapi tak tahu juga, pada masa depan. Harapan saya janganlah harga santan, minyak masak, gula, garam dan barang lain naik. Memang beri kesan kepada kami (peniaga),” katanya.

sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/…kanan-1.597320

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts