You are here
berita 

Pengangkutan Ladies Only Riders & Drivers (L.O.R.D) Untuk Wanita Sahaja

KUALA LUMPUR – Setelah mendengar banyak cerita mengerikan mengenai rompakan, gangguan atau serangan seksual terhadap penumpang wanita ketika menggunakan pengangkutan awam dan perkhidmatan pengangkutan e-panggilan, dua rakan karib memutuskan untuk mewujudkan platform bagi perkhidmatan pengangkutan khusus untuk wanita.

Jaspreet Kaur, 34, dan Kirajeet Gill, 36, melancarkan perkhidmatan Ladies Only Riders & Drivers (L.O.R.D) pada Oktober tahun lepas dan setakat ini perkhidmatan itu telah mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

Menggunakan halaman kumpulan Facebook L.O.R.D sebagai platform untuk penumpang menempah perjalanan, perkhidmatan itu kini mencatat purata 10 perjalanan setiap hari.

“Terdapat beberapa laporan di mana wanita dirompak atau diganggu oleh pemandu teksi, bahkan pemandu (penyedia perkhidmatan pengangkutan e-panggilan) Uber dan Grab. Malah, saya juga mempunyai kawan-kawan yang telah dirompak oleh pemandu teksi.

“Sesetengah wanita juga pernah menerima panggilan dan pesanan teks dari pemandu perkhidmatan pengangkutan e-panggilan kerana mereka mempunyai butiran perhubungan penumpang (wanita) berkenaan. Faktor-faktor ini memainkan peranan penting dalam menggalakkan saya sehingga tercetusnya idea untuk melindungi wanita-wanita yang menggunakan perkhidmatan teksi atau pengangkutan e-panggilan,” kata Jaspreet, bekas duta untuk laman sesawang fesyen dalam talian, kepada Bernama, baru-baru ini. Dia kini terlibat dengan L.O.R.D sepenuh masa.

Akhir-akhir ini, beberapa kes telah dilaporkan dalam akhbar mengenai wanita yang dirompak, malah ada yang diserang secara seksual oleh pemandu-pemandu perkhidmatan pengangkutan e-panggilan.

Pada bulan Mei, seorang wanita mengandung berusia 26 tahun dirompak oleh pemandu Uber selepas dia menaiki kereta di Kuala Lumpur untuk kembali ke rumahnya di Puchong. Kemudian, wanita itu dilaporkan mengalami keguguran.

Pada bulan lepas, seorang wanita di Pulau Pinang mendakwa bahawa pemandu Uber telah menanggalkan seluar dan mendedahkan bahagian sulitnya kepada beliau.

Terdapat juga laporan pada bulan lepas mengenai seorang ibu tunggal beranak dua, yang mendakwa beliau dirogol oleh pemandu GrabCar di rumahnya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor. Dia memberitahu polis bahawa dia tidak dapat melawan pemandu berkenaan kerana berada dalam keadaan mabuk.

Pada November lepas, seorang pemandu GrabCar didakwa menunjukkan bahagian sulitnya kepada penumpang wanita ketika menghantarnya ke sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya.

PEMANDU PERLU DAFTAR DENGAN UBER

Kira-kira 100 wanita mendaftar diri sebagai pemandu perkhidmatan L.O.R.D. Kebanyakan mereka adalah suri rumah yang menawarkan perkhidmatan secara sambilan.

“Ini adalah cara yang baik untuk suri rumah mendapatkan sedikit wang tambahan kerana waktu bertugas adalah fleksibel,” kata Jaspreet sambil menambah bahawa beberapa pemandu mereka adalah pekerja sepenuh masa di tempat lain dan menjadikan L.O.R.D. sebagai usaha untuk menambah pendapatan.

Menurut Kirajeet, setiap pemandu hendaklah mempunyai lesen memandu yang sah, serta kereta yang tidak melebihi 10 tahun dan diinsuranskan.

Pemandu juga dikehendaki mendaftar dengan Uber “untuk keselamatan dan merujuk kepada kadar tambang yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan e-penggilan itu”, tambahnya.

“Kami merujuk kepada aplikasi Uber sebagai panduan untuk menetapkan tambang mengikut jarak perjalanan. Pemandu kami perlu membuka aplikasinya ketika menyediakan perkhidmatan.”

Pada laman Facebook L.O.R.D, pentadbirnya telah menyatakan bahawa kumpulan itu “tiada kena mengena dengan sebarang perkhidmatan perkongsian pengangkutan Uber atau GrabCar”, sambil menambah bahawa ia adalah bebas dan perjanjian dibuat di antara penumpang dan pemandu sahaja.

PERLU TEMPAH AWAL

Kirajeet berkata pada masa ini, penumpang dan pemandu dipadankan secara manual melalui laman Facebook L.O.R.D. Seseorang yang mahu menggunakan perkhidmatannya, perlu mendaftar sebagai ahli kumpulan Facebook terlebih dahulu.

Untuk membuat tempahan perjalanan, ahli perlu menyiarkan butiran berkaitan pada templat yang disediakan.

“Apabila kami mendapat pengesahan daripada penumpang, butiran pemandu dan maklumat kadar tambang akan dihantar kepadanya,” kata Kirajeet.

Tidak seperti Uber dan Grab di mana penumpang boleh menempah dan mendapatkan pengangkutan mereka dalam masa beberapa minit, L.O.R.D menggalakkan pelanggan menempah perjalanan mereka sehari sebelumnya.

“Kami harap penumpang boleh membuat tempahan sehari lebih awal tetapi kadang-kadang kami mendapat permintaan hanya lima jam sebelum perkhidmatan diperlukan. Namun kami akan cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan pemandu,” kata Kirajeet.

Selain di sekitar Lembah Klang, L.O.R.D juga menyediakan perkhidmatannya kepada wanita yang ingin membuat perjalanan ke Johor Bharu, Ipoh, Pulau Pinang dan Kuantan.

PENDAPATAN TAMBAHAN

Beberapa pemandunya juga menghantar dan menjemput kanak-kanak sekolah.

“Sesetengah ibu bapa akan meminta pemandu yang sama untuk mengambil anak mereka dari sekolah dan jika pemandu itu menyenangkan maka kami akan menempah slot itu untuknya,” kata Kirajeet, sambil menambah bahawa kanak-kanak lelaki berusia bawah 16 tahun dibenarkan menaiki kenderaan L.O.R.D.

Suri rumah, Loo Joo Ann, 39, dari Shah Alam berkata dia mula menjadi pemandu untuk L.O.R.D pada Oktober lepas setelah membaca mengenainya di Facebook.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, pendapatan yang diperoleh sebagai pemandu sangat berguna untuk membayar bil isi rumah dan utilitinya, serta yuran tuisyen anak sulungnya.

“Saya biasanya menjemput penumpang pada waktu pagi kerana kebanyakan mereka adalah pelajar sekolah. Pekerjaan ini juga membuatkan saya sibuk selain membolehkan saya membantu wanita lain,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendaftar sebagai pemandu atau menempah perjalanan boleh melakukannya melalui halaman kumpulan Facebook L.O.R.D.

– BERNAMA

http://www.mynewshub.cc/terkini/peng…-untuk-wanita/

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts