You are here
berita 

Penduduk Protes Thai Tutup Jeti Haram Ke Malaysia

NARATHIWAT – Kira-kira 300 penduduk di sepanjang Sungai Golok di sini, berhimpun aman bagi membantah tindakan tentera Thailand menutup sejumlah pengkalan bot yang digunakan mereka.

Jeti kecil berkenaan yang dianggap sebagai laluan tikus untuk penduduk tempatan dapat berulang-alik secara haram ke Malaysia termasuk menyeludup barangan bersubsidi keperluan harian yang dijual murah di negara jiran itu.

Buat masa ini enam pengkalan bot yang ditutup atas alasan keselamatan oleh pihak tentera itu adalah Pengkalan Gaji, Pengkalan Jambu, Pengkalan Bereng, Pengkalan Buluh, Pengkalan Cek Kaseng dan Pengkalan Retak.

“Arahan penutupan oleh pihak berkuasa itu akan beri impak bukan sahaja kepada kami tetapi juga menjejaskan Sungai Golok secara keseluruhan,” kata penolong ketua komuniti Pengkalan Sungai Golok, Pairat Mamat.

Tindakan penutupan enam jeti haram itu sejak dua hari lepas, telah menjejaskan teruk kira-kira 5,200 penduduk daripada 1,300 keluarga yang amat bergantung hidup mereka kepada pengkalan bot kecil itu, katanya.

Pihak berkuasa Thailand hanya membuka Pengkalan Prapa bagi kemudahan penduduk negara itu menyeberang Sungai Golok untuk ke Malaysia tanpa perlu melalui proses pemeriksaan imigresen kedua-dua negara.

Pairat berkata mereka yang berhimpun itu turut akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha menerusi Datuk Bandar Sungai Golok, Sudarat Pannara.

Ia supaya mempertimbangkan semula tindakan penutupan enam pengkalan haram berkenaan yang sudah digunakan oleh ramai penduduk tempatan untuk memasuki Malaysia secara haram sejak sekian lama.

Surat rayuan itu akan menjelaskan kesan buruk yang kini dihadapi oleh ramai penduduk termasuk kepada pemandu teksi kereta dan teksi motosikal, pengangkut barang seludup dan pemilik bot tambang.

Ini juga termasuk nasib kira-kira 70 kanak-kanak yang terpaksa menggunakan Sungai Golok yang agak cetek untuk ke sekolah di Malaysia, kata Pairat lagi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

http://www.mynewshub.cc/utama-sensas…m-ke-malaysia/

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts