You are here
berita 

Penduduk Kampung Kubu gempar dengan kehadiran buaya

PENDUDUK Kampung Kubu, Penanti digemparkan dengan kehadiran seekor buaya di kawasan semak berhampiran rumah seorang penduduk, semalam.

BUKIT MERTAJAM 29 Jan. – Penduduk di Kampung Kubu, Penanti di sini gempar susulan kehadiran seekor buaya di kawasan semak berhampiran rumah seorang penduduk petang semalam.

Kehadiran reptilia itu yang dianggar sepanjang dua meter, disedari penduduk yang kemudian menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Azman Hussin berkata, pihaknya menerima laporan pada 4.15 petang.

“Sebaik pihak bomba sampai di lokasi kejadian didapati benar terdapat ancaman seekor buaya yang berehat di kawasan belakang rumah penduduk di situ,” katanya di sini hari ini.

“Bagaimanapun, haiwan itu hilang daripada pandangan selepas menyedari kehadiran manusia,” katanya yang meminta penduduk melaporkan segera kepada pihak bomba jika terlihat reptilia itu.

Sementara itu, seorang penduduk, Haron Abdul Malik, 45, berkata, dia hanya mengetahui akan kehadiran buaya berkenaan selepas dimaklumkan oleh anak lelakinya.

“Saya terus keluar dari rumah untuk melihat dan ternampak ada benda bergerak di dalam kawasan semak tidak jauh dari belakang rumah kami. Bila tengok lama-lama baru perasan itu buaya dan terus saya telefon pihak bomba,” katanya.

Haron berkata, dia sekeluarga kini mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup pintu dan tingkap bahagian belakang rumah bagi mengelakkan haiwan tersebut memasuki rumahnya mereka. – BERNAMA

sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wila…buaya-1.437919

.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts