You are here
berita 

Pemuda Klang tunda kahwin mahu tonton perlawanan EPL

MUHAMMAD Fareez Farid Mohd Fuzi

MANCHESTER: Muhammad Fareez Farid Mohd Fuzi sepatutnya melangsungkan perkahwinan esok, tetapi sanggup menangguhkannya semata-mata kerana mahu menyaksikan perlawanan bola sepak antara Manchester City dan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Ahad.

Jejaka berusia 24 tahun dari Klang, Selangor ini adalah antara 10 pemenang peraduan ‘Dashing – Hey Bro, Anda Akan ke Manchester’, yang dipilih untuk menyaksikan perlawanan City – Liverpool di Stadium Etihad.

Muhammad Fareez Farid menunda tarikh perkahwinannya dengan Rawaida Aifa, 24, dari Bukit Subang, Selangor ke 25 Mac ini.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, keputusan untuk menukar tarikh perkahwinan itu dipersetujui kedua-dua pihak dan tunangnya cukup memahami minatnya terhadap sukan bola sepak.

“Tak sangka saya menang peraduan Dashing ini. Saya anggap ini adalah hadiah zaman bujang terbaik.

“Memang menjadi impian saya untuk menyaksikan mana-mana perlawanan EPL. Saya tak sanggup lepaskan peluang keemasan ini. Syukur kerana keluarga kedua-dua pihak memahami situasi saya,” katanya selepas menyertai rombongan 10 pemenang peraduan Dashing melawat Stadium Old Trafford, di sini, sebentar tadi.

Semua yang dipilih, termasuk enam pemenang peraduan bulanan musim ketiga Dashing itu akan menyertai lawatan empat hari tiga malam ke Manchester, dengan tiket penerbangan serta penginapan percuma.

Mereka yang terpilih ialah Mohamad Syafiq Latif; Lim Chuan Fuh; Arzrai Ahmad Aripin; Mohamad Safwan Othman; Muklis Nasril; Muhammad Fareez; Muhammad Shairil Arif Muslizam; Rustarmizi Long dan Wan Mustaqim Abdul Wahab dan Gilmoore Bolongon.

Rombongan itu turut disertai Pengurus Pemasaran Dashing, Venkat Jangam; Pengurus Produk Kumpulan, Jade Young dan Penolong Pengurus, Monika Poddar serta tujuh wakil media tempatan.

“Saya seperti bermimpi dapat peluang masuk ke stadium Old Trafford serta bilik persalinan pemain. Bukan semua orang dapat peluang seperti ini,” kata Muhammad Fareez Farid.

Pemenang bertuah terbabit akan diberikan tempat duduk orang kenamaan (VIP) untuk menonton perlawanan Ahad ini dan berpeluang bertemu pemain pasukan utama City.

Mereka juga dibawa melawat Muzium Bola Sepak dan sekitar City, termasuk kunjungan ke Stadium Old Trafford dan Stadium Anfield.

Pada musim lalu, pemenang peraduan yang sama juga dibawa ke Manchester menyaksikan pertembungan derby antara City dan Manchester United.

http://www.bharian.com.my/node/261218

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts