You are here
berita 

Pemegang polisi merana ditipu ejen insurans

KECACATAN di bahagian mulut yang dialami Mohd. Saheful Rizuan Shahar selepas terlibat dalam kemalangan.


Foto sebelum kemalangan.

KUALA LUMPUR – MOHD. Saheful Rizuan Shahar, 29, membeli polisi insurans perubatan dan kesihatan daripada seorang ejen yang diperkenalkan oleh ahli keluarganya kira-kira lapan tahun lalu dengan kadar bayaran RM200 setiap bulan.

Meskipun ketika itu pendapatannya melalui pekerjaan menjual ayam mentah di sebuah pasar hanya cukup-cukup makan sahaja, namun, dia memutuskan untuk memiliki insurans selepas menyedari kepentingannya sebagai jaminan masa hadapan sekiranya ditimpa musibah.

Disebabkan sibuk, bayaran dilakukan melalui ejen terbabit yang akan datang ke tempat kerjanya untuk mengutip wang setiap bulan. Sepanjang tempoh berkenaan, dia tidak pernah mengalami masalah pembayaran.

Ditakdirkan dia ditimpa kesusahan menyebabkan bayaran tertunggak selama sebulan. Sebelum sempat melangsaikan tunggakan berkenaan, dia terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu menaiki motosikal bersama isterinya dari Pelabuhan Klang ke Bangi.

Kemalangan yang diklasifikasikan sebagai kes langgar lari itu menyebabkannya cedera parah dan koma selama 12 hari, sementara isterinya cedera di tangan dan kaki.

Semasa dirawat di Hospital Serdang, dia membuat tuntutan insurans, tetapi disebabkan ketidakjujuran ejen terbabit, dia gagal memperoleh tuntutan dan terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi. Lebih menyedihkan apabila dia terpaksa membiarkan kecacatan pada mulutnya, meskipun doktor memaklumkan ia boleh dipulihkan melalui pembedahan.

Dia membuat keputusan itu kerana tidak lagi mampu menanggung kos perubatan yang mahal selepas membelanjakan kira-kira RM20,000 termasuk kos rawatan isterinya.

Kos perubatannya (tidak termasuk isteri) sepatutnya ditanggung syarikat insurans yang dilanggannya namun, disebabkan pembayaran tidak dilakukan hampir dua tahun, syarikat berkenaan menolak tuntutan berkenaan.

“Ejen berkenaan ada sekali sewaktu kami menjalani rawatan. Namun, dia hanya datang sekadar menangkap gambar dan memaklumkan akan menguruskan tuntutan berkenaan.

“Saya ada menghubunginya semula untuk mengetahui perkembangan tuntutan tersebut namun, dia hanya memberi jawapan ‘nanti saya uruskan’. Selepas kira-kira lima bulan tiada khabar berita daripada ejen berkenaan, saya dan isteri pergi ke syarikat insurans berkenaan bagi membuat tuntutan.

“Syarikat itu menolak permohonan saya disebabkan pembayaran hanya dilakukan selama enam bulan, meskipun saya sudah hampir tiga tahun membayar insurans kepada ejen berkenaan,” katanya yang kini bekerja sebagai petugas di Masjid Al-Syakirin, Gombak.

Dalam pada itu, isterinya, Norhayu Jaffar, 27, terkilan dengan sikap ejen yang tidak amanah dalam menguruskan pembayaran insurans.

“Rakan saya juga mengalami nasib yang sama. Pembayaran dilakukan setiap bulan, tetapi apabila kemalangan, barulah 
dia dapat tahu, ejen berkenaan tidak pernah membuat pembayaran. Akibatnya, tuntutan tidak dapat dilakukan,” tambahnya.

https://www.utusan.com.my/berita/nas…-ejen-1.418379
___________
___________

Elak guna ejen sambilan

CARI ejen insurans yang benar-benar berkualiti. Lebih penting cari ejen sepenuh masa.

Itu apa yang ditegaskan Pengarah Eksekutif Stable Vision Corporation Sdn. Bhd., Richard Low yang sudah kira-kira 20 tahun berkecimpung dalam industri insurans di negara ini.

Ujarnya, masalah sering timbul apabila pelanggan membeli polisi insurans daripada ejen sambilan yang kemudian tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya apabila pelanggan memerlukan bantuan mereka.

“Ini yang sering terjadi apabila seorang ejen itu menjual insurans secara sambilan. Dia hanya dapat memberi 50 peratus komitmen kepada pelanggan. Namun, bukan semua keadaan itu memberi impak negatif. Ada buruk dan baiknya. Bagaimanapun,pengguna juga perlu memastikan hak mereka terjamin.

“Sebagai seorang yang berpengalaman dalam industri ini, saya nasihatkan agar pengguna berhati-hati ketika membeli polisi insurans terutama dalam memilih ejen yang benar-benar berkualiti sahaja,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Katanya, menjadi ejen insurans dapat menjana pendapatan yang lumayan iaitu seorang ejen sambilan mampu mendapat sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan, bergantung kepada jumlah pelanggan.

Sementara, pendapatan ejen sepenuh masa pula boleh mencecah sehingga RM4,000 bagi tiga pelanggan yang diperolehi setiap bulan.

“Justeru, tidak hairanlah, ramai yang mahu melakukan kerja ini secara sambilan. Namun, ia boleh mencetuskan masalah yang lain di pihak pelanggan kerana perbezaan komitmen yang mampu ditawarkan antara ejen sepenuh masa dan sambilan,” katanya.

Menurut Richard, pengguna juga seharusnya membaca secara teliti setiap perenggan dan klausa di dalam 
polisi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di masa depan.

“Sudah menjadi tabiat masyarakat kita yang tidak mengendahkan kandungan polisi insurans yang dibeli. Bukan insurans, malah apa juga hal. Mereka terus menandatangani polisi dengan alasan meletakkan kepercayaan sepenuhnya pada ejen yang menguruskan pembelian polisi insurans mereka.

“Di sini juga akan menyebabkan masalah besar timbul apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini dan mereka akhirnya gagal mendapat pampasan kerana kesalahan diri sendiri kerana tidak membaca polisi dengan teliti,” katanya.

Katanya, ejen juga bertanggungjawab memberi penerangan sepenuhnya tanpa menyembunyikan apa-apa fakta dan perkara kepada pelanggan.

Beliau berkata, menjual polisi insurans bukan semata-mata untuk menjana pendapatan lumayan, sebaliknya apa yang lebih utama adalah nilai yang dapat ditawarkan kepada masyarakat.

https://www.utusan.com.my/berita/nas…bilan-1.418381

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts