You are here

Pembangkang ‘Bisu’ Harga Getah, Sawit Naik

Published on Feb 3, 2017 in Gaya Hidup/Politik/Utama & Sensasi
KUALA SELANGOR – Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak pembangkang sering kritik kerajaan setiap kali harga minyak naik walhal ia bukan salah kerajaan kerana ia ditentukan pasaran dunia.

Serentak dengan itu, Perdana Menteri secara sinis berkata, pembangkang sebaliknya hanya membisu apabila pihak kerajaan berjaya meningkatkan harga minyak kelapa sawit sehingga berjaya mencecah RM3,300 setan.

Beliau berkata kenaikan harga komoditi itu sebenarnya adalah hasil kejayaan beliau ketika melawat China sekitar Oktober tahun lepas, apabila negara tersebut bersetuju meningkatkan pembelian komoditi sawit dari Malaysia.

Ia susulan tindakan beberapa negara Eropah yang cuba mengurangkan pembelian sawit akibat tohmahan jahat oleh pihak pelobi berkepentingan tertentu sehingga menyebabkan harga komoditi itu menjunam teruk di pasaran dunia.

“Harga sawit naik RM3,300 setan, harga getah pun naik tiga kali ganda. Malah, saya pernah tanya seorang pesara guru yang ada empat hektar kebun sawit. Dia sekarang dapat pendapatan bersih RM4,000 sebulan,” katanya.

Berucap ketika merasmikan ‘Program Jom Bantu Rakyat Kuala Selangor’ di Sekolah Kebangsaan Ijok di Bestari Jaya, di sini pada Jumaat, Najib turut mempertahankan subsidi bersasar yang diguna pakai buat masa sekarang.

Katanya pelaksanaan subsidi secara pukal selama ini turut dinikmati warga asing dan pelancong. Ini kerana jika bantuan itu diberi secara subsidi pukal, banyak ketirisan dan ketidakadilan berlaku terhadap kelompok sasaran.

“Kita hendak mengubah dasar (sebelum ini) daripada bantuan secara pukal atau subsidi pukal kepada bentuk bantuan serta subsidi secara bersasar ataupun disebut sebagai ‘targeted assistance’ dan ‘targeted subsidy’.

“Kalau subsidi (misalnya) untuk minyak (petrol), siapa yang lebih untung, mereka yang ada kereta besar sebenarnya lagi untung, mereka yang jadi pelancong, waima pekerja asing pun turut untung,” jelas Najib.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa sekiranya kerajaan dapat berjimat menerusi subsidi minyak, dana yang dijimatkan itu dapat digunakan untuk disalurkan bagi bantuan lain yang lebih bersasar dan menguntungkan rakyat.

https://www.mynewshub.cc/utama-sensasi/pm-sindir-pembangkang-bisu-harga-getah-sawit-naik/

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts