You are here
berita 

Pelajar tingkatan 5 dakwa cikgu tendang di dada

Ibu mangsa menunjukkan bahagian badan anaknya yang ditendang oleh guru sekolahnya.

KUALA NERANG – Seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah, di sini mendakwa ditumbuk dan ditendang hingga lebam serta dimalukan di hadapan rakan oleh seorang guru.

Dalam kejadian pagi kelmarin, ketika kejadian mangsa berada di luar kelas kawasan koridor tingkat tiga di bangunan sekolah itu.

Menurutnya, selepas makan nasi bungkus, dia cuba memasukkan bungkusan itu di celah cermin tetapi dilihat oleh guru di sebelah kelasnya itu.

“Cikgu itu marah saya dan menyuruh saya mengambil sampah yang terselit di celah cermin itu dengan mulut. Tapi tiba-tiba kertas bungkusan itu terjatuh dan saya pun ambil dengan tangan.

“Tapi saya sekali lagi dimarahi dan cikgu itu arahkan saya masukkan bungkusan itu ke dalam mulut. Saya sempat meminta maaf kepada guru itu dan berjanji tak akan ulang lagi perbuatan seperti itu,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, belum sempat dia berdiri, tiba-tiba guru itu menendang kaki kanannya beberapa kali sebelum ditendang di bahagian dada.

“Tendangan itu menyebabkan saya sukar bernafas dan saya memohon kepada guru kelas untuk pulang kerana kesakitan.

“Saya minta seorang rakan hantar saya pulang dan maklumkan kepada ibu bapa. Bila pulang saya dapati kaki kanan saya lebam dan dada pula sakit hingga sukar bernafas,” katanya.

Sementara itu bapa mangsa berkata, dia kecewa dengan tindakan guru seperti itu hingga sanggup menendang seorang pelajar.

Menurutnya, dia tidak menyangka seorang guru sanggup menendang pelajarnya yang sudah memohon maaf atas kesalahan yang dibuat.

“Saya tak marah kalau cikgu itu nak rotan anak saya kerana nak mendidik menjadi lebih baik tapi tindakan menendang anak murid itu dah keterlaluan.

“Bimbang dengan keadaan anak saya itu, saya bawanya ke Hospital Kuala Nerang untuk dapatkan rawatan dan mujur tiada apa yang serius,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…-guru-1.632498

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts