You are here
berita 

Pekerja kantin tak pulang baki, kebas duit murid

“SEBENARNYA pernah jadi banyak kali semasa dia di tahun satu dan yang saya rakam itu saya saja nak kongsi dengan keluarga sebab macam kelakar, tetapi tak sangka tular.”

Demikian kata Laila Mohd Wahab, 30, selepas rakaman soal jawab dia dengan anaknya Norlydia Farisyah Mohd Azizul, 8, mengenai wang belanja sekolah tular di Facebook (FB).

Menerusi video berkenaan, anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu ibunya yang duit baki RM3 di ambil oleh pekerja kantin sekolah dan Farisyah malu hendak memintanya kembali.

“Sebenarnya masa saya muat naik pada 8 Januari lalu, saya tengah marah. Saja nak kongsi sebab kasihan pada anak kerana sudah selalu terjadi.

“Tetapi apabila video berkenaan tular dan membaca komen orang ramai, saya fikir positif saja dan tak mahu memperbesarkan perkara ini,” katanya yang juga suri rumah.

Laila berkata, dia memberi duit belanja sekolah RM5 kepada anaknya setiap hari dan pernah memberi RM10 kerana tiada duit kecil.

Farisyah yang juga murid tahun dua, bagaimanapun akan mengadu kepadanya setiap kali dia tidak mendapat duit baki selepas membeli makanan di kantin sekolah.

“Dia akan beritahu saya apa yang dibelinya seperti nasi, roti, hotdog dengan harga setiap satunya, dan jumlah dalam lingkungan RM5, tetapi baki tiada.

“Apapun saya tak bercadang nak panjangkan isu ini, cuma saya sentiasa ingatkan anak untuk menjaga duit elok-elok dan pandai mengira,” katanya yang menetap di Taman Mutiara Rini, Skudai.

Laila turut berfikiran positif kemungkinan apa yang berlaku disebabkan pekerja berkenaan sibuk melayan murid sekolah yang ramai dan tidak sengaja terambil duit anaknya.

“Jadi kita sebagai ibu memang kena ajar anak-anak bagaimana untuk menyimpan duit dan mengira serta apa yang berlaku saya dah reda pun,” katanya.

https://www.hmetro.com.my/utama/2018…a-duit-metrotv

Quote:

Hulur duit terus berlalu pergi


Murid-murid Tahun Satu diajar untuk membeli makanan di kantin pada hari pertama sesi persekolahan. Foto Bernama

PETALING JAYA: Kisah seorang ibu yang kesal dengan tindakan peniaga kantin di sebuah sekolah ‘merembat’ RM3 milik anak perempuannya berumur lapan tahun menerusi sebuah video yang tular menarik perhatian seorang guru.

Mengakui terdapat kebenaran mengenai kes pekerja kantin tidak amanah, beliau berkata, masalah itu dapat dielakkan sekiranya ibu bapa melakukan pencegahan awal dengan mengajar anak mereka mengenali wang dan dan mengira baki.

Tanpa merujuk kepada video yang tular, guru tersebut, Mohd Fadli Salleh berkata, selain pekerja kantin yang tidak jujur, terdapat beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi insiden murid tidak menerima semula baki wang selepas berbelanja.

“Aku dah pesan banyak kali, ajar anak kenali wang, terima baki. Saban tahun di depan mata, murid membeli, hulur wang dan berlalu pergi walau baki masih ada.

“Waktu rehat ratusan murid ada di kantin, sesak. Anak kau bawa duit RM5, beli keropok harga RM1. Hulur duit dan berlalu pergi.

“Terpekik-pekik pekerja kantin panggil anak kau. Tapi mana anak tu nak perasan dalam suasana riuh-rendah. Nak dikejar, takkan dia nak tinggalkan kaunter,” katanya menerusi satu ‘posting’ di laman sosial pada Jumaat.

Mohd Fadli berkata, selepas membeli, segelintir murid pula tidak terus menyimpan wang mereka di dalam poket atau dompet, sebaliknya meletakkan di atas kaunter.

“Diletak dulu atas kaunter lepas tu nak minum air, berborak dengan kawan. Kalau kau penjual, duit ada di atas kaunter saat pelanggan tengah ramai bersesak-sesak, pasti kau ingat itu duit kau kan?

“Lagipun memang biasa murid yang dah tahu harga dan kenal nilai wang hanya ambil barang, letak duit atas meja kaunter dan berlalu pergi,” katanya.

Mengenai pekerja kantin yang tidak jujur, mendidik anak mengenai perbelanjaan pasti dapat menangani isu mengambil kesempatan ke atas murid.

Selain mengenali wang, menerima baki, ibu bapa turut perlu menasihatkan anak-anak mereka supaya meminta baki dan Mohd Fadli memberi contoh: “Pak cik, duit saya lima ringgit. Saya beli seringgit sahaja. Mana baki saya empat ringgit?”

Jelasnya, pekerja yang tidak jujur tidak lagi berani ‘mencuri’ wang murid terutama dari Tahun Satu sekiranya anak-anak kecil ini tahu menuntut hak mereka.

Namun kata Mohd Fadli, anak-anak mereka dinasihatkan untuk membuat laporan kepada guru bertugas sekiranya tindakan pekerja kantin yang tidak bertanggungjawab terus berlaku.

“Guru yang akan pergi berurusan dengan pekerja kantin dan bertanya hal sebenar. Jika ada pekerja yang tidak jujur, pasti saban hari ada laporan murid.

“Jika setiap hari guru yang kena pergi minta baki murid, pemilik kantin pasti tukarkan pekerja yang tidak amanah itu. Kes selesai,” katanya.

Dalam pada itu, guru tersebut turut menasihatkan ibu bapa supaya memberikan wang kertas RM1 kepada anak-anak mereka berbanding wang kertas bernilai lebih besar.

“Mudah kerja anak, mudah kerja orang kantin tak perlu beri baki,” kata Mohd Fadli.

http://www.mstar.com.my/berita/berit…ak-pasal-wang/


Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts