You are here
berita 

Pekebun getah di Kedah campur pasir, batu punca harga rendah

Foto hiasan.

SIK 17 Dis. – Pekebun-pekebun kecil di Kedah diingatkan agar tidak mencampurkan bendasing di dalam bekas getah skrap mereka di saat peningkatan harga bahan komoditi itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan Negeri Datuk Mohd. Tajudin Abdullah, perlakuan seumpama itu merugikan pekebun itu sendiri akhirnya.

“Mereka bertindak demikian dengan harapan untuk mendapat keuntungan berlebihan, tetapi malangnya mendapat harga yang murah daripada pembeli berlesen setelah dikesan getah yang dijual tidak bersih dan bercampur dengan bendasing,” katanya selepas menyampaikan bantuan persekolahan pada Program Gerak Nikmat Insan Ke Sekolah (GENIUS) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Tajudin menyampaikan pakaian seragam sekolah kepada 1,000 orang pelajar sekolah rendah dari daerah itu sebagai persiapan memasuki sesi persekolahan 2017 nanti.

Tambah beliau, harga getah skrap adalah sama mengikut harga pasaran, namun sifat tamak segelintir penoreh mencampurkan dengan habuk kayu, pasir dan batu menyebabkan harga yang diperoleh lebih murah.

“Contohnya, harga getah di pasaran pada hari ini RM4.60 sekilogram, namun ada pekebun di Sik mendapat harga di bawah paras RM4 disebabkan perlakuan itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta agar pekebun-pekebun jujur dalam menjalankan pekerjaan mereka kerana peluang yang diberi harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

Sementara itu, beliau menasihatkan pekebun di negeri ini agar dapat menabung atau berjinak-jinak dengan aktiviti peningkatan pendapatan sampingan lain di saat kenaikan harga getah ini.

“Mereka boleh memulakan projek pertanian atau penternakan daripada lebihan hasil yang diperoleh agar jika harga getah jatuh semula, mereka tidak lagi bimbang dan bergantung kepada hasil komoditi itu untuk hidup,” katanya.

Tajudin juga menasihatkan agar para pekebun kerap membuat rondaan bagi mengelak hasil getah mereka dicuri.

“Dalam keadaan sekarang ini para pekebun mestilah sentiasa memantau dan rajin ke kebun membersihkan kebun mereka kerana jika dibiarkan, ia terdedah kepada kecurian dan merugikan mereka,” katanya. – BERNAMA

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/terk….M4QrfdP5.dpuf

________________

Harga getah dijangka terus meningkat minggu depan

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Pasaran getah Malaysia dijangka terus meningkat minggu depan didorong oleh unjuran positif ke atas pasaran komoditi global.

Peniaga berkata jaminan daripada ahli-ahli Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengenai pengurangan minyak mentah dan ringgit yang lemah berbanding dolar AS akan memberi sokongan kepada pasaran.

Beliau berkata jangkaan oleh Toyota Motor Corp bahawa jualan kenderaan global akan meningkat sebanyak satu peratus pada tahun depan memberi petunjuk permintaan daripada industri kereta tinggi pada masa akan datang.

“Dasar China yang melanjutkan pengurangan cukai ke atas kereta enjin kecil selama satu tahun akan terus mengukuhkan permintaan untuk kenderaan yang meningkat dan ini turut dijangka menyokong pasaran getah,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, dagangan meningkat tetapi bercampur-campur dengan permintaan bagi gred tayar SMR 20 kekal kukuh.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, harga Lembaga Getah Malaysia pada tengah hari bagi SMR 20 naik 141 sen kepada 926 sen sekilogram dan susu getah pukal menokok 47.5 sen kepada 636.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20 meningkat 127 sen kepada 915 sen sekilogram, manakala susu getah pukal menambah 51.5 sen kepada 639 sen sekilogram.- BERNAMA

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/terk….1xhJcw2i.dpuf

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts