You are here
berita 

Panggilan Nama Cina Umpama Satu Penghormatan

Melihat dari nama kedainya Ah Sen Motor, pasti ramai yang menyangka pemiliknya berbangsa Cina, namun siapa sangka bengkel membaiki motosikal itu dimiliki lelaki berbangsa India.

M.Legeson, 35, berkata, dia menggunakan nama itu kerana sejak menceburi bidang perniagaan membaiki motosikal bermula di Tanjung ******, Melaka hinggalah dia berpindah ke premis sendiri di Pulau Gadong, pelanggannya lebih mesra memanggilnya dengan nama Ah Sen yang sinonim dengan dirinya sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, panggilan itu satu penghormatan buat dirinya dan bukan bermaksud dia menukar nama dan agama.

Panggilan Ah Sen itu juga membuatkan dia cukup bersemangat untuk mempelajari bahasa Cina sehinggakan mampu bertutur lebih empat bahasa termasuk Mandarin, Hokkien, Melayu, Bahasa Inggeris dan Tamil.

Katanya, kedai yang wujud sejak tujuh tahun lalu itu tidak hanya menjadi tumpuan mereka yang mengalami kerosakan motosikal malah sebenarnya sering menjadi lokasi pertemuan masyarakat tiga bangsa utama di negara ini.

“Orang kata kedai saya kedai ‘perpaduan’, sebab di sini boleh jumpa pelbagai bangsa dalam satu masa, saya orang India, pekerja saya Cina dan pelanggan saya pula Melayu.
“Sebab itu saya kekalkan nama Ah Sen, bukan sebab saya tidak menghargai nama Legeson yang diberikan oleh keluarga tapi itu satu keunikan orang India tapi namanya Cina sebab saya boleh berkawan dengan semua bangsa,” katanya.

Legeson yang berasal dari Kampung Tanjung Kling mengakui persekitarannya dari sejak kecil yang terdedah dengan masyarakat Melayu menyebabkan dia fasih berbahasa Melayu walaupun ketika kecil dia bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Biarpun bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan, namun sebagai rakyat di negara ini perlunya mempelajari bahasa lain kerana ia dapat memberi kelebihan kepada diri seseorang terutama untuk berhadapan dengan orang ramai.

Katanya, dia juga tidak kisah kedainya menjadi tempat pertemuan masyarakat berbilang kaum dan tidak sedikit berasa urusan perniagaannya terganggu.
“Mereka yang datang sini, bukan semuanya nak baiki motosikal atau nak tukar minyak hitam, tapi ada juga yang datang tak kira kaum apa, mereka bincang tentang motosikal termasuk tips-tips nak beli alat ganti rugi yang berkualiti dan sebagainya.

“Saya tak pernah halau atau marah mereka sebab saya suka melihat orang awam tak kira Melayu, Cina dan India mereka boleh duduk berborak bersama dan bertukar pendapat bersama tanpa sebarang masalah,” katanya.

Jelas bapa kepada tiga orang anak berusia 8 hingga 11 tahun itu, di rumahnya dia lebih banyak bertutur bahasa Tamil dengan ahli keluarga, namun dengan anak-anak dia lebih gemar bertutur bahasa Mandarin bagi memantapkan pertuturan anaknya yang bersekolah di SJKC.

Menurutnya, sudah pasti dalam sehari pertuturan tiga bahasa ini tidak akan dilupakan seolah-olah makanan ruji kerana di kedai motor pula dia lebih senang bertutur dalam bahasa Melayu.

Katanya, biarpun kerjayanya hanyalah sebagai mekanik motor ataupun pemilik kedai motor, namun sekurang-kurangnya dia dapat memainkan peranan sebagai anggota masyarakat yang berusaha merapatkan saf perpaduan tanpa ada jurang perkauman di dalam negara tercinta ini.

“Zaman saya ketika kecil, dengan kaum-kaum lain, kami seperti satu keluarga. Boleh bermain bola bersama, beraktiviti tanpa perlu persoalkan kaum apa.

“Itu yang saya rindukan sehingga sekarang, dan bersyukur rakan-rakan sepermainan saya terutama Melayu masih lagi kami berhubung dan sering datang ke kedai saya agar ukhuwah yang ada berterusan.

“Saya juga selalu galakkan anak-anak berkawan dan bercampur dengan berbagai kaum, bukan kita beri kebebasan terus tapi dalam kebebasan itu juga kita pantau agar mereka tidak tersalah pilih kawan,” katanya yang turut mempunyai kedai aksesori motosikal

Berita asal http://www.sinarharian.com.my/edisi/…h-sen-1.783169

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts