You are here
berita 

Orang ramai berebut-rebut kerang sekilo RM2

Wanita tempatan sibuk mengasingkan kerang dan siput lala.

YAN – Lambakan kerang di Jeti Kuala Sala, Yan sejak beberapa hari lalu membuatkan harganya menjadi semurah RM2 sekilogram.

Tinjauan Sinar Harian mendapati harga kerang sekilo RM2 menjadi rebutan dari masyarakat seluruh daerah berdekatan dan ada juga yang sanggup datang dari luar daerah semata-mata untuk mendapatkan kerang berkenaan.

Peniaga dan pemborong, Nor Asma Laliliza Kasim, 33, berkata setiap hari kira-kira 2,000 kilogram kerang dan lala didaratkan di jeti tersebut.

“Saya gunakan sebuah bot dan mengupah tiga pekerja untuk mengutip kerang di sekitar Pulau Bunting bagi dijual terus kepada pembeli di jeti ini,” katanya.

Hasil kerang dan siput lala yang diperoleh juga dihantar kepada peniaga sekitar Kuala Lumpur, Ipoh dan Thailand.

“Sepanjang lebih lima tahun menjadi peniaga dan pemborong di sini, ini adalah kali pertama hasil kerang terlalu banyak.

“Jadi peluang inilah kami ambil untuk menjual kepada orang ramai dengan harga yang murah,” katanya.

Katanya, pada tahun lepas tiada siput lala dan kerang yang diambil di Pulau Bunting. Para nelayan mendapatkannya di sebelah kawasan utara seperti Kuala Tebengau dan Kuala Kangkong.

“Tetapi berbeza pada tahun ini siput lala dan kerang muncul di Pulau Bunting. Biasanya ini jarang berlaku,” katanya.

Selain itu juga, Nor Asma mempunyai 50 pekerja wanita yang terdiri daripada penduduk tempatan yang bertugas untuk mengasingkan siput lala dan kerang di bakul yang berasingan sebelum dijual.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…butan-1.655819

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts