You are here
berita 

Nenek lumpuh hanya bergantung pada cucu 4 tahun di Penang

Khatijah hanya mampu duduk di atas katilnya, terpaksa kuat meneruskan kehidupan demi cucunya, Nur Iman Umairah.

GEORGE TOWN – Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib menimpa Khatijah Mohamad Yusuff yang lumpuh separuh badan sejak dua tahun lepas dan hanya bergantung kepada bantuan cucu perempuannya yang berusia empat tahun.

Khatijah, 63, berkata, walaupun dikeji, dihina dan diherdik jiran setiap hari, beliau yang tinggal di Hilir Solok Sungai Pinang, di sini serta hanya mampu duduk di atas katilnya, terpaksa kuat meneruskan kehidupan demi cucunya, Nur Iman Umairah.

“Sejak suami saya meninggal dunia Oktober tahun lepas, saya kehilangan tempat bergantung malah hilang sumber kewangan.

“Di katil inilah saya lakukan segalanya termasuk mandi dan masak. Saya buat semua itu sendiri hanya dengan bantuan cucu,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Beliau yang turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung itu berkata, duit bantuan saraan RM350 sebulan yang diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya cukup untuk membayar sewa rumah, bil elektrik dan air.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Khatijah, boleh ziarah ke rumahnya di alamat 11F Solok Sungai Pinang, Pulau Pinang kerana tidak mempunyai telefon dan akaun bank. – Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/conten…#ixzz4cZUhw7Yn

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts