You are here
berita 

Naik 20 sen sampai 50 sen!

KOTA BHARU – Kedai makan di pusat bandar Kota Bharu hanya menaikkan harga roti canai, teh tarik dan nasi lemak sekitar 20 sen hingga 50 sen demi menjaga keperluan pelanggan.

Pengusaha Kedai Makan Aly Kan Bulatan Jam Besar, Nik Roselin Nik Mat, 54, atau dikenali sebagai Kak Na berkata, sejak meniaga lebih 10 tahun di situ, harga makanan dan minuman yang disediakan masih dikategorikan murah.

Katanya, walaupun harga bahan mentah semakin tinggi, namun keseluruhan nilai makanan dan minuman di negeri ini masih berada pada tahap rendah serta tidak membebankan pelanggan.

“Sebagai pengusaha, kami risau bila dimaklumkan harga bahan mentah naik, tapi tak sampai hati nak naikkan harga masakan sebab pelanggan di sini golongan sederhana.

“Kami tak mahu mereka berfikir banyak kali. Biarlah semua dapat beli, dapat makan,” katanya.

Nor Azrieni (kanan) bersama tukang masak nasi lemak, Hanisah Jusoh menunjukkan lauk nasi lemak.

Nik Roselin berkata, kuih-muih yang dijual di Kelantan juga tidak membebankan iaitu empat biji untuk RM1.

“Orang Kelantan mahir buat kuih, jadi harganya tak jadi masalah. Lebih baik beli daripada buat sendiri sebab mudah nak dapat dan murah,” katanya.

Sementara itu, menantunya yang turut mengendalikan kedai berkenaan, Nor Azrieni Mohd Ghani, 27, berkata, perbezaan harga ditawarkan tidak ketara memandangkan bahan mentah mudah didapati di negeri ini.

“Bahan mentah kena GST, tapi kami tak naikkan harga tinggi. Walaupun ada kedai lain yang naikkan harga tapi kami tak ikut.

“Saya tengok pelanggan pun berhati-hati masa ambil lauk-pauk tapi biasanya mereka lebih gemar makan roti canai, murah dan kenyang,” katanya.

Bagaimanapun, dia berharap harga petrol diturunkan bagi mengelak kedai makan dan restoran di negara ini menaikkan harga makanan serta minuman sewenang-wenangnya.

Pelanggan masih ada pilihan

Bekas tentera, Mohamad Bakat, 65, yang sudah 10 tahun menjadi pelanggan tetap di kedai makan berkenaan masih berpuas hati dengan harga serta rasa masakan di situ.

Mohamad menunjukkan teh tarik halia madu.

“Teh tarik madu di sini harganya baru RM2 saja, masih murah sebab kedai ni di tengah-tengah bandar.

“Bagi saya, kedai makan dan restoran di Kelantan secara keseluruhannya masih jual makanan dengan harga murah. Kalau mahu berjimat, masih ada menu yang harga sangat rendah contohnya nasi lemak biasa,” katanya.

Sementara itu, Omar Othman, 62, dari Kampung Bukit Hanyut, Gunong, Bachok, berkata, kedai berkenaan boleh diibaratkan Melayu bantu Melayu apabila tidak menaikkan harga makanan yang dijual.

“Sebagai pelanggan memang kita ambil peduli harga makanan sebab kita yang nak kena keluar belanja. Apa lagi yang da anak ramai. Tapi kami bersyukur sebab di Kelantan harga makanan dan minuman masih mampu bayar,” katanya.

sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/…0-sen-1.630798

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts