You are here
berita 

Melayu mahu gaji tinggi tapi kerja kurang – Dr. M

13 Jan 2018

BEKAS Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata orang Melayu sukar mencapai kemajuan disebabkan masalah sikap golongan itu dalam melaksana pekerjaan.

Walhal, orang Melayu mempunyai kelebihan yang sama seperti bangsa lain, katanya dalam satu forum membicarakan Wawasan 2020 cetusannya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, orang Melayu kurang tekun dan rajin bekerja serta lebih gemar melaksanakan pekerjaan yang mudah.

“Masalahnya budaya, nilai hidup yang kita pegang. Kita dapati umpamanya kita kurang tekun dan rajin bekerja dan ada yang kurang amanah.

“Kita cari cara mudah, tak mahu buat benda berat dan susah. Kalau ada duit kita upah orang, sebab itu kita ketinggalan. Bukan tak boleh tapi kita yang tak mahu,” katanya dalam forum di Cyberjaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kegagalan Wawasan 2020 adalah disebabkan sikap orang Melayu itu sendiri.

Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu seterusnya membangkitkan mengenai jumlah hari cuti umum yang terlalu banyak di negara ini.

“Komitmen kita pada sesuatu kurang. Kita suka kerja kurang dan dapat gaji lebih. Kalau lihat cuti di Malaysia cukup banyak. Tak payah kerja. Kita duduk cuti… sekali cuti empat hari.

“Tapi kerajaan tetap jalan, negara jalan. Tekan butang automatik kemudian balik tidur. Boleh kita berjaya macam itu?” soalnya.

Malah beliau berpendapat rakyat negara ini harus bekerja sehingga enam hari seminggu.

“Saya tak setuju cuti hari Sabtu. Hari Sabtu kena kerja. Kita belum sampai tahap negara maju. Kita perlu kerja lebih kuat daripada negara maju.

“(Tetapi sebaliknya) cuti tak berhenti. Menang bola cuti. Semua tunggu nak cuti. Mana boleh berjaya kalau tak kerja,” katanya.

Menurutnya lagi, rakyat negara ini juga memerlukan negara yang ikhlas untuk menjamin kemajuan mereka.

“Kita perlukan kerajaan yang ikhlas, bukan yang curi duit. Itu bukan kerajaan, tapi itulah kerajaan kita sekarang,” sindirnya.

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut membangkitkan mengenai jumlah hari cuti umum yang terlalu banyak di negara ini

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts