You are here
berita 

Malaysia negara pilihan terbaik pelabur

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul negara pilihan terbaik untuk menjadi destinasi pelaburan langsung asing (FDI) global, menurut ranking Negara Terbaik Untuk Dilabur 2017.

Ia salah satu kategori di bawah ranking Negara Terbaik 2017 yang dibuat bersama firma strategi jenama global, BAV Consulting dan Wharton School of the University of Pennsylvania, membabitkan 21,000 peserta kaji selidik dari 80 negara seluruh dunia.

Ranking Negara Terbaik Untuk Dilabur ditetapkan berdasarkan skor daripada 6,000 pembuat dasar perniagaan, berdasarkan sekumpulan lapan ciri negara yang masing-masing mempunyai wajaran sama rata.

Lapan ciri berkenaan ialah menangani rasuah, dinamik, stabil dari segi ekonomi, keusahawanan, persekitaran cukai yang mesra, inovatif, tenaga kerja berkemahiran dan kepakaran teknologi.

Rantau Asia Tenggara menguasai ranking berkenaan apabila selain Malaysia, tiga lagi negara iaitu Singapura, Thailand dan Indonesia juga menduduki senarai 10 negara terbaik untuk dilabur tahun ini.

“Malaysia adalah peneraju yang jelas di dalam ranking ini, apabila merekodkan sekurang-kurangnya 30 mata lebih tinggi berbanding negara lain berdasarkan skala 100 mata.

“Negara ini adalah salah satu penerima FDI yang terbesar dan kerajaannya yang pro-perniagaan menawarkan pelbagai jenis insentif kepada pelabur, ” kata kaji selidik berkenaan yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan U.S. News & World Report.

U.S. News & World Report dikenali dengan penerbitan ranking global seperti pendidikan, kesihatan, kewangan, kerjaya, perjalanan dan automotif.
Kaji selidik itu mendapati, negara lain di dalam kedudukan teratas senarai berkenaan seperti Singapura yang menduduki tempat kedua dan India di tempat keenam, kebiasaannya mempunyai penduduk lebih muda serta berpendidikan.

“Majoriti rakyatnya boleh menghasilkan kerja berkemahiran yang diperlukan oleh pasaran tenaga kerja pada kadar gaji kompetitif serta meneruskan kitarannya dengan menyumbang kepada pasaran pengguna negara terbabit,” katanya.

Menurut kaji selidik itu, pelabur akan tertarik kepada apa yang ditawarkan oleh negara terbabit tetapi tidak dimiliki oleh syarikat berkenaan.
Katanya, perkara yang menjadikan sesebuah negara itu unik iaitu rakyatnya, persekitaran, hubungan, rangka kerja dan pendidikan, mewujudkan pula empat faktor yang dikenal pasti oleh laporan Bank Dunia bagi menggalakkan seseorang individu atau sesebuah syarikat melabur di sana.

“Faktor berkenaan ialah sumber asli, pasaran, kecekapan dan aset strategik seperti teknologi atau jenama,” katanya.

Setiap tahun, kira-kira AS$1 trilion dana dilaburkan dalam bentuk FDI di seluruh dunia. Bahagian yang diterima oleh sesebuah negara dianggap mencerminkan nilai serta potensinya ke seluruh dunia.

INFO 10 Negara Terbaik Untuk Dilabur 2017
1. Malaysia
2. Singapura
3. Republik Czech
4. Denmark
5. Poland
6. India
7. Thailand
8. Israel
9. Qatar
10. Indonesia

http://www.bharian.com.my/node/259047

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts