You are here
berita 

Majlis akad nikah dilangsungkan dalam air

Shahrul Nizam bersama isterinya, Suriati selepas majlis akad nikah di rumah isterinya.

BESUT – Majlis akad nikah yang berlangsung di dalam rumah yang digenangi air banjir menjadi kenangan tidak dapat dilupakan buat sepasang pengantin di Jabi, Sabtu lalu.

Peristiwa menarik itu, dialami pasangan Suriati Arifin, 19, dan suaminya, Shahrul Nizam Zainal Abidin, 21, yang selamat bergelar suami isteri selepas dinikahkan pada jam 9.30 malam di rumah pengantin perempuan di Kampung Gong Ubi Ke.ling, di sini.

Menurut Shahrul Nizam, air yang naik begitu cepat menyebabkan majlis akad nikah terpaksa dilakukan di rumah keluarga mertuanya memandangkan semua arah jalan untuk ke surau berdekatan telah dinaiki air.

“Semasa saya dan rombongan pengantin lelaki sampai di sini, kira -kira jam 9 malam, air baru paras buku lali tetapi tidak sampai setengah jam kemudian air sudah meningkat paras betis orang dewasa.

“Air naik memang pantas dan ketika jurunikah sampai, air sudah sedalam kira-kira 0.2 meter dalam rumah. Mahu tak mahu, kami semua sepakat meneruskan majlis itu kerana semua sudah ada sebagaimana dirancang sebelum ini,” katanya dari Kampung Tok Dor Dalam di sini.

Shahrul Nizam berkata, akad nikah berlangsung dengan dia terpaksa duduk di atas katil yang dikeluarkan dari dalam bilik, sementara jurunikah duduk di kerusi dengan kakinya terendam dalam air sambil disaksikan ahli keluarga yang kebanyakan berdiri dalam air.

Lantaran telah lama berada dalam air sebelum itu, menyebabkan tangannya agak menggeletar ketika menjawab soalan jurunikah akibat kesejukan, ditambah debaran untuk melafazkan akad nikah.

“Majlis ini akan menjadi kenangan buat kedua-dua belah keluarga kerana pengalaman itu bukan dilalui semua orang,” katanya.

Shahrul Nizam bekerja sebagai pemandu lori dan berkenalan dengan isterinya kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, tetamu terpaksa menikmati jamuan ringkas yang diadakan selepas majlis itu dengan makan berdiri di dalam air.

Sementara itu, menurut Suriati, selepas majlis tersebut, kebanyakan tetamu terperangkap beberapa jam sementara menunggu air yang melimpahi jalan surut.

Tambah Suriati, selepas majlis itu juga keluarganya terpaksa menumpang tidur di rumah saudara berhampiran, manakala dia mengikut suaminya pulang.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…m-air-1.616303

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts