You are here
berita 

MAIPs sumbang buggy kepada Masjid Al-Aqsa

Raja Muda Perlis diiringi Raja Puan Muda Perlis bergambar bersama Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr E’krima Sa’eed Sabri, (empat dari kiri) ketika menerima kunjungan hormat di Istana Arau. FOTO – Azhar Ramli

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbang dua kenderaan buggy kepada pengurusan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis, bagi kemudahan jemaah warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang beribadat di masjid berkenaan.

Majlis penyerahan replika kenderaan itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekremah Sai’d Sabri, malam tadi.

Ia diadakan sempena program Pidato Prihatin Al-Quds anjuran MAIPs dengan kerjasama Aman Palestin di Masjid Tuanku Syed Putra, Kangar.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Raja Muda Perlis yang juga Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyerahkan replika sumbangan kutipan terkini daripada rakyat Perlis melalui MAIPs kepada Tabung Untuk Aqsa Negeri Perlis yang bernilai RM102,579.80.

Kutipan tersebut ialah untuk tempoh empat hari sejak kempen berkenaan dilancarkan Sabtu lalu dan akan terus dikutip sehingga Jumaat ini.

Terdahulu pada program yang sama turut diadakan pidato khas disampaikan Sheikh Dr Ekremah yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu.

sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2…masjid-al-aqsa

.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts