You are here
berita 

Madinah dilantik Ketua Audit Negara

Putrajaya: Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, 60, dilantik sebagai Ketua Audit Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 23 Februari lalu hingga 22 Februari 2019.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Menurutnya, pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Ambrin Buang yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada Rabu ini.

“Kerajaan merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Ambrin di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Audit Negara sejak 23 Februari 2006.

“Ia khususnya dalam usaha mentransformasi dan menstruktur semula sistem pengauditan kerajaan serta mengukuhkan sistem pengurusan kewangan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Madinah, berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Sarjana Sains dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau adalah bekas KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan bekas KSU Kementerian Pendidikan sebelum bersara wajib pada 2 September 2016.

http://www.hmetro.com.my/node/207504

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts