You are here
berita 

Lubang jahanam di ibu kota

Quote:

Masalah lubang penutup saluran air di Jalan Chan Sow Lin sudah berlarutan saban tahun dan menjadi lebih teruk selepas permukaan jalan raya ditar berkali-kali. – UTUSAN ONLINE


MASALAH yang sama di jalan utama ibu kota, Jalan Tun Razak terdapat lubang penutup saluran air yang ‘tenggelam’ selepas permukaan jalan raya ditar berkali-kali dan membahayakan pengguna terutama penunggang motosikal. – UTUSAN ONLINE


Kedalaman lubang penutup saluran air mencecah antara dua inci (lima sentimeter) hingga enam inci (15 sentimeter). – UTUSAN ONLINE


Lubang dalam boleh menyebabkan kerosakan pada rim atau penyerap hentakan kereta ataupun motosikal. – UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR 12 Feb. – Keadaan penutup saluran air yang tenggelam selepas permukaan jalan di Jalan Chan Sow Lin ditar berkali-kali menyebabkannya menjadi lubang dan begitu membahayakan pengguna jalan raya itu.

Timbul persoalan sama ada kepada pihak berkuasa iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ataupun kontraktor yang tidak mengambil berat keselamatan pengguna jalan raya.

Lubang-lubang sedemikian menjadi begitu dalam selepas permukaan jalan ditar berkali-kali saban tahun, tetapi tiada inisiatif untuk membetulkan kedudukan penutup itu agar selari dengan permukaan jalan.

Lantaran itu, wartawan Utusan Online membuat tinjauan di Jalan Chan Sow Lin dan mendapati selain kedalaman lubang, kedudukannya juga berada hampir di tengah jalan.

Terdapat 14 penutup saluran air di jalan berkenaan ‘tenggelam’ yang berbahaya kepada pengguna terutama penunggang motosikal

Lebih teruk lagi, kedalaman penutup saluran itu mencecah antara dua hingga ke enam inci atau lima hingga 15 sentimeter.

Sementara keluasan penutup yang menjadi lubang di tengah jalan pula adalah 0.5 meter persegi.

Jalan Tun Razak (arah Selatan)

Tidak terlepas dalam tinjauan wartawan Utusan Online adalah Jalan Tun Razak di hadapan pusat servis kenderaan mewah berhampiran susur keluar dan masuk Jalan Chan Sow Lin.

Bagaimana sebatang jalan utama di ibu kota, terdapat lapan lubang (penutup salur air) berada di sebelah garisan menghampiri kawasan tengah laluan kiri jalan raya.

Sementara kedalaman lubang itu rata-ratanya antara lima hingga 10 sentimeter dan berkeluasan kira-kira 0.5 meter persegi.

Keadaan jalan sedemikian ternyata berbahaya, malah terdapat kesan pada penutup salur air itu menunjukkan jalan tersebut sudahpun ditar beberapa kali.

Namun tiada tindakan untuk membetulkan kedudukan penutup saluran air itu supaya selari dengan permukaan jalan raya sekali gus menjamin keselamatan pengguna.

Sebabkan kemalangan jalanraya

Hasil makluman orang ramai dalam tinjauan wartawan Utusan Online, semalam terdapat kemalangan berlaku melibatkan sebuah motosikal yang terlanggar lubang penutup salur air di Jalan Chan Sow Lin berhampiran Jalan 3.

Seorang pekerja di kawasan perindustrian di situ, Sureenraj memberitahu, penunggang motosikal malang itu terjatuh selepas terlanggar lubang penutup salur air.

“Kejadian kemalangan dekat Jalan Chan Sow Lin terutama di Jalan 3 memang kerap berlaku.

“Semalam baharu sahaja berlaku, selain penunggang cedera, motosikalnya rosak teruk.

“Kalau pihak berkuasa atau kontraktor membetulkan kedudukan penutup air yang tenggelam ketika menurap jalan, pasti kejadian sedemikian tidak berlaku,” katanya.

Selain itu, Alvin Liew mengaku pernah terjatuh dua kali ketika menunggang motosikal akibat terlanggar lubang.

“Saya tidak tahu, bila jalan dekat sini hendak dibetulkan sebab sepanjang bekerja dekat sini pun sudah jatuh dua kali akibat terlanggar dua lubang berasingan.

“Bila saya elak lubang yang menyebabkan terjatuh, terlanggar pula lubang lain yang saya tidak perasan,” keluhnya.

Bukan masalah baharu

Isu lubang penutup saluran air di Jalan Chan Sow Lin bukan isu baharu, malah ia sudahpun saban tahun dipersoalkan.

Lebih teruk lagi, pengguna yang jarang melalui jalan tersebut turut mengeluh keadaan permukaan jalan di sana masih sama walaupun sudah diturap baharu.

Menurut Hafiz Machat, dia jarang pergi ke kilang di Jalan Chan Sow Lin dan akan datang jika diarahkan untuk hadir ke sana.

“Kali terakhir saya datang sini adalah lima bulan lalu, sekarang jalan cantik kerana ditar baharu.

“Tetapi sayangnya, lubang penutup saluran air masih seperti dahulu bahkan semakin dalam!” ujarnya.

Sementara menurut Sureenraj lagi, jalan tersebut memang kerap kali ditar baharu kerana kenderaan berat melalui laluan itu.

“Awal tahun hari itu pun, ada kontraktor datang untuk tar Jalan Chan Sow Lin sebab jalan sudah terlalu teruk.

“Tetapi, apabila saya bertanya kepada kontraktor kenapa tidak betulkan lubang penutup saluran air dan mereka jawab ‘itu kerja kontraktor lain, kami cuma tar jalan sahaja’.

“Akibat kemalangan, tiga lubang paling dalam dekat Jalan Chan Sow Lin telah ditanda dengan semburan cat berwarna putih sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya untuk elak lubang,” ujarnya kesal.

http://www.utusan.com.my/berita/wila…#ixzz56yE8Qiej

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts