You are here
berita 

Lelaki rugi RM440,000 ditipu diskaun bil elektrik TNB

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rugi hampir setengah juta ringgit selepas ditipu oleh seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang kononnya boleh memberikan potongan diskaun hampir 40 peratus untuk bayaran bil elektrik tertunggak, tahun lalu.

Mangsa, Chia Kok Khaw, 34, mendakwa ditipu VIP berkenaan selepas membuat pembayaran bil elektrik milik sepupunya serta empat lagi rakan bernilai RM439,740.

Mangsa mendakwa mengenali suspek dalam satu urusan jual beli kereta di Segambut di sini, Mei tahun lalu dan ketika mereka berbual, mangsa bercerita tentang masalah tunggakan bayaran bil elektrik dihadapi sepupunya yang juga seorang pengusaha kolam ikan, bernilai RM58,471.67.

“Suspek mendakwa mempunyai rakan yang bertugas sebagai pegawai kanan di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan boleh membantu mengurangkan jumlah bil sehingga 45 peratus daripada jumlah asal.

“Saya rasa teruja dan menceritakan perkara itu kepada sepupu saya dan dia juga tertarik dengan tawaran Datuk Seri itu,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Parti Gerakan Malaysia (PGRM), hari ini.

Menurut mangsa, beliau kemudian menghubungi suspek pada 5 Mei tahun lalu dan menghantar salinan bil elektrik sepupunya kepadanya melalui aplikasi Whatsapp.

“Suspek beritahu dia akan tolong bayarkan bil yang sudah diberi diskaun berjumlah RM26,132.25 terlebih dulu dan saya boleh semak status bayaran menggunakan sistem yang disediakan TNB

“Kira-kira jam 8 malam hari yang sama, suspek hantar salinan gambar resit bayaran dan minta saya semak dengan pihak TNB untuk pengesahan sebelum keesokannya saya hubungi talian TNB Careline bagi mendapatkan pengesahan. Ternyata betul bayaran sudah dibuat atas nama syarikat milik sepupu saya,” katanya.

Katanya lagi, untuk kepastian lanjut, dia turut ke cawangan TNB Mersing dan menyemak status bayaran dan ternyata benar bayaran sudah dibuat.

“Selepas berpuashati, saya setuju pindahkan wang berjumlah RM26,132.25 dalam satu akaun bank milik seorang individu lain dan tidak mengesyaki apa-apa.

“Sepupu saya yang teruja, menceritakan perkara itu kepada empat rakannya yang kemudian turut tertarik untuk menggunakan khidmat suspek dan mereka kemudian turut meminta bantuan saya untuk menjelaskan tunggakan bil elektrik serta denda curi elektrik masing-masing,” dakwa beliau.

Menurutnya, suspek setuju untuk membantu dan seperti proses pertama, suspek mendahulukan pembayaran bil yang sudah diberikan ‘diskaun’ dan selepas selesai, saya pindahkan wang berjumlah RM413,428.47 secara berperingkat sebanyak 11 kali ke tiga akaun bank milik individu berlainan.

Bagaimanapun, katanya, selepas lebih 20 hari, sepupu serta empat rakannya dihubungi pihak TNB memberitahu bahawa tunggakan masih belum dilangsaikan.

“Difahamkan, Datuk Seri berkenaan membuat pembayaran menggunakan cek-cek yang bermasalah menyebabkan bayaran untuk semua bil itu masih tertunggak.

“Saya berjaya menghubungi suspek dan dia beri banyak alasan selain berjanji membayar semula. Dia kemudian beri saya tiga keping cek bayaran balik namun semuanya adalah cek tendang,” dakwa beliau.

Susulan itu, mangsa membuat satu laporan polis di Balai Polis Tanjung Gemok, Mersing, semalam selepas menyedari ditipu.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Dan Aduan Awam PGRM Nasional, Datuk Wilson Lau Hoi Keong, berkata satu perjumpaan dengan TNB akan dilakukan bagi memahami sistem kiosk yang digunakan suspek untuk melakukan pembayaran menggunakan cek tendang kerana pada resit berkenaan terdapat istilah pembayaran namun tiada perkataan sudah dilunaskan.

“Kes ini adalah pelik kerana segala pembayaran yang dibuat melalui cek dapat disahkan dalam sistem hanya dalam masa sehari, tetapi kalau difahami pembayaran melalui cek memakan masa selama beberapa hari.

Wilson Lau berkata, masyarakat perlu berhati-hati dengan pembayaran yang dibuat melalui cek dan kiosk kerana dipercayai boleh berlaku penipuan atau jenayah komersial.

http://www.bharian.com.my/node/255078

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts