You are here
berita 

Lelaki kejang satu badan lepas hidu minyak wangi sebelum disamun

Nizam menunjukkan laporan polis dibuat sejurus selepas kejadian dia disamun dua lelaki.

PUCHONG – Seorang pemandu lori kerugian lebih RM3,000 disamun dua lelaki selepas mendakwa menghidu minyak wangi dan disembur dengan cecair misteri di Bestari Jaya, Kuala Selangor di sini dalam kejadian malam Isnin lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 7.30 malam, mangsa yang dalam perjalanan ke Batu Arang dari tempat kerjanya di Shah Alam dikatakan baru selesai menjamu selera di sebuah kedai makan berhampiran masjid.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam, 44 berkata, dia terus masuk ke dalam lori sebelum cermin kenderaan itu diketuk dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Katanya, kedua-dua lelaki itu berpakaian kemas berkemeja lengan pendek.

Seorang daripada suspek mendekatinya dan mendakwa dia menjual minyak wangi, mangsa kemudian diminta menghidu cecair pewangi yang dijual.

Nizam berkata, tanpa mengesyaki sesuatu yang buruk, dia menuruti permintaan lelaki terbabit dan terus menghidu botol minyak wangi yang diacukan kepadanya.

Sebaik cecair dihidu Nizam berkata, dia tiba-tiba terus mengalami kekejangan dan kesannya terasa hingga ke bahagian otak.

“Mulut saya ternganga, mata saya terbeliak tapi saya tak boleh jerit, ketika itu datang seorang lagi rakan kepada lelaki terbabit menyembur cecair lain ke mulut saya menyebabkan seluruh anggota badan saya mengalami kekejangan.

“Kedua-dua lelaki terbabit kemudian masuk ke dalam lori mengambil beg sandang saya dan terus melarikan diri ke arah lokasi yang tidak pasti,”katanya.

Nizam berkata, dia langsung tidak boleh bergerak dan bercakap hampir sejam selepas kejadian namun berusaha menggunakan hujung jarinya untuk membuka pintu lori.

Katanya, dia yang masih mengalami kebas dan kekejangan rebah di pintu lori sebelum ditemui jemaah masjid berhampiran.

“Saya tak boleh gerak tapi saya cuba juga gerakkan jari kelingking untuk buka pintu lori, lepas tu saya dah tak tahu apa berlaku…sedar-sedar dah berada di Hospital Sungai Buloh.

“Mula-mula sedar keesokan harinya pun saya masih tak boleh bercakap, saya hanya sembuh seperti sedia kala menjelang petang,”katanya yang turut kehilangan telefon bimbit dalam kejadian itu.

Katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bestari Jaya untuk tindakan lanjut pihak berkenaan.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…steri-1.630873

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts