You are here
berita 

Kontroversi bayi ada dua alat sulit di Uganda

Sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak dilahirkan dengan masalah dua jantina setiap minggu di Hospital Kebangsaan Mulago, iaitu hospital terbesar di Uganda. – Gambar hiasan dari intersexday.org

KAMPALA 18 Dis. – Selepas bayi mereka dilahirkan ini sebuah klinik swasta di pinggir ibu negara Uganda ini, Justine Nakato dan isterinya Stephen Mbaziira Dembe kecewa kerana jururawat dan doktor tidak membenarkan mereka melihat anak yang baru dilahirkan itu atau memberitahu apa jantinanya.

Mereka meminta supaya diberitahu apa yang berlaku, tetapi jururawat yang terlibat memberitahu bayi mereka dalam keadaan baik dan jantinanya akan diberitahu segera.

Apabila si ibu dibenarkan keluar, kakitangan klinik itu menyerahkan bayi berkenaan yang dibalut dengan selimut sambil diberi amaran supaya tidak mendedahkan kulit bayi itu kepada cuaca sejuk sehingga mereka sampai rumah.

Apabila tiba di rumah, pasangan suami isteri itu mendapati anak mereka memiliki zakar dan juga vagina.

“Pada mulanya kami terkejut, kami pergi berjumpa pakar untuk mengetahui apa yang kami perlu lakukan. Namun, apabila dia membuang air kecil, ia keluar melalui zakar.

“Ekoran itu kami memutuskan untuk memberikannya nama lelaki, Timothy Ziwa,” kata Dembe kepada Yayasan Thomson Reuters ketika ditemui di rumahnya di Nsambya, di pinggir bandar Kampala.

Timothy yang kini berusia 10 bulan dan ibu bapanya sedang mengumpul dana untuk melakukan pembedahan bagi membetulkan alat kelamin, satu proses kontroversi kerana melibatkan prosedur sama ada mahu menjadikannya seorang lelaki atau perempuan.

Masalah pasangan suami isteri itu mendapat simpati stesen radio tempatan yang turut merayu sumbangan untuk membantu membiayai pembedahan tersebut di luar negara.

Namun, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberitahu, untuk melakukan pembedahan itu di Uganda agak mustahil dan menasihatkan ibu bapa terbabit supaya menunggu anak mereka mencapai usia baligh sebelum membuat keputusan melakukan pembedahan.

Seorang perunding sakit puan, Tamale Ssali yang melakukan pemeriksaan terhadap Timothy pula berkata, ibu bapa anak itu memerlukan sekitar AS$50,000 untuk kos pembedahan tersebut di Britain kerana Uganda kekurangan kemudahan dan kurang selamat untuk melakukan pembedahan rumit seperti itu.

“Bayi ini dilahirkan dalam keadaan yang dipanggil kesamaran jantina. Terdapat vagina yang kecil tetapi tiada uterus dan ada zakar tetapi tiada buah zakar,” kata Ssali.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Sokongan Untuk Orang Yang Mempunyai Masalah Genital (SIPD) di Uganda, sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak dilahirkan dengan masalah itu setiap minggu di Hospital Kebangsaan Mulago, iaitu hospital terbesar di Uganda.

Pengarah Eksekutif SIPD, Julius Kagwa berkata, Uganda tidak memiliki makmal untuk melakukan ujian kromosom ke atas kanak-kanak terbabit bagi menentukan jantina sebenar mereka, malah pembedahan untuk membetulkan jantina itu selalunya tidak berjaya.

“Beberapa pembedahan telah dilakukan untuk membetulkan jantina pada bayi terbabit tetapi tidak berjaya, dan berakhir dengan kanak-kanak itu berlakuan berbeza apabila dia membesar,” katanya.

Kepercayaan karut dan malu merupakan satu lagi faktor yang dihadapi oleh kanak-kanak dua jantina ini di Uganda. Kanak-kanak ini sering kali disorok daripada umum dan keluarga menggunakan khidmat dukun untuk `mengubati’ mereka.

Malah, SIPD melaporkan ada kes di mana ibu bapa berkonspirasi dengan tukang sihir untuk membunuh bayi yang memiliki dua jantina kerana kononnya terkena sumpahan dan mahu membersihkan sumpahan tersebut.

Menurut laporan itu, terdapat juga ibu bapa yang membuang bayi yang memiliki dua jantina di tandas atau dalam hutan selain melakukan sendiri pembedahan membetulkan jantina yang akhirnya membawa mudarat. – REUTERS

http://www.utusan.com.my/berita/luar….hySy1XTg.dpuf

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts